Trak pikap R1T ini dibangunkan berdasarkan platform papan selaju (skateboard), terdiri daripada sebuah rangka yang merangkumi segala komponen penting - pek bateri, gandar, sistem suspensi dan sistem penyejuk - yang diletakkan rendah pada dasar kenderaan.
Kebaikannya?
Rendah titik graviti, dan menawarkan tahap pengendalian yang setanding dengan kereta sedan sport.
Rivian R1T ini ditawarkan dalam tiga pek bateri berlainan kapasiti:
- 180 kWh - jarak operasi 644 km
- 135 kWh - jarak operasi 483 km
- 105 kWh - jarak operasi 370 km
Manakala empat buah motor elektrik yang digunakan pula mampu menjana kuasa setinggi 700 kuasa kuda dengan daya kilas maksimum 1,120 Nm!
Sebagai perbandingan, Koenigsegg Agera S tahun 2013 dengan enjin 5.0 liter bentangan V8 itu mampu menghasilkan 1,016 kuasa kuda dengan daya kilas yang hampir serupa iaitu 1,100 Nm.
Apa yang menarik pada trak pikap ini tidak terhad pada angka yang dipertunjukkan sebentar tadi.
Disebabkan R1T ini tiada enjin, ia menawarkan ruang kargo yang paling luas, bermula daripada frunk (front trunk) yang bersaiz 330 liter, bed belakang, ruangan 'rahsia' sebesar 250 liter pada ruangan simpanan tayar, dan juga ruang 'terowong gandar' yang mampu menawarkan ruang tambahan bersaiz 350 liter.
Ruangan terakhir yang disebutkan itu mampu memuatkan barangan yang berdimensi panjang, seperti beg golf, papan luncur salji, ataupun stroller bayi.