Rimac Nevera 15th Anniversary Edition, 9 buah sahaja, hampir RM12 juta!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Rimac Nevera 15th Anniversary Edition
Rimac Nevera 15th Anniversary Edition
Sejarah mencatatkan terdapat tokoh yang hidup bersama dalam satu era dan masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri.

Sebagai contoh Nikola Tesla dan Albert Einstein. Pada masa sekarang industri automotif memiliki Elon Musk dan Mate Rimac.

Elon Musk lebih terkenal manakala Mate Rimac "yang tahu je tahu" (ytjt).

Keempat-empat tokoh mempunyai inovasi (dan penemuan) di dalam bidang elektrik dan kedua-dua Musk dan Rimac menggagumi Nikola Tesla.

Rimac Nevera 15th Anniversary Edition.03.png (1000×714)

 

Untuk makluman, selain syarikat kereta sendiri, Mate Rimac adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bugatti Rimac.

Bagi mengikut falsafah tak berwaktu Bugatti, Mate Rimac dilahirkan pada 1988. Kiraan umur boleh dibuat pada tahun anda membaca artikel ini.

Mate Rimac memulakan perjalanan Rimac Automobili pada 2009 dan diberitahu supaya tidak bersusah payah menubuhkan syarikat kereta di Croatia kerana sesuatu yang mustahil.

Pada 2011 Mate Rimac mencipta sejumlah rekod dunia menggunakan BMW 3 Series 1984 yang diubah suai kepada kenderaan elektrik.

 

Rimac Nevera 15th Anniversary Edition

 

Beliau sebelum itu dianggap sedang membina mesin basuh. 

Di sebalik kata-kata tersebut, Rimac Automobili pada 2018 memperkenalkan kereta elektrik hiper pertama di dunia dengan angka prestasi yang dikatakan mustahil untuk dicapai.

Tiga tahun kemudian, C_Two diberi nama Nevera dan sejak dilancar berjaya mencipta rekod prestasi baharu dan keraguan sebelum itu berjaya dinafikan.

Bagi meraikan ulang tahun ke-15 di dalam arena membuktikan perkara mustahil tidak mustahil, Rimac memperkenalkan Nevera 15th Anniversary Edition.

 

Rimac Nevera 15th Anniversary Edition

 

Nevera 15th Anniversary Edition dihadkan kepada sembilan buah sahaja dan keluaran pertama tampil dalam warna tembaga baharu dan cat kusam pertama untuk Nevera.

Warna tembaga dipilih bukan sahaja kerana sambutan ulang tahun tetapi juga kaitannya dengan tenaga dan kebanyakan bahan yang digunakan di dalam kabel elektrik.

Sebahagian lagi kereta diserlahkan dengan karbon terdedah. Rim aloi dua warna, logo 15 Years Anniversary dan grafik ala sambungan papan litar menjadi ciri khas kereta ini.

Pada bahagian dalam suis dan tombol juga dibuat dalam warna tembaga. Tulisan one-of-nine dan 2009-2024 turut menjadi identiti khas.

 

Rimac Nevera 15th Anniversary Edition

 

Skema dalaman boleh dipesan mengikut warna hitam atau putih dengan kulit warna tembaga pada kerusi dan logo 15 pada penyandar kepala.

Sebuah Nevera 15th Anniversary Edition berharga 2,350,000 euro (RM11,969,754) termasuk beg buatan khas yang dibuat sepadan dengan dalaman kereta.

Sebagai rujukan, pada Mei 2023 mencatat 27 rekod prestasi termasuk masa pecutan 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 1.81 saat.

Penyumbang kepada prestasi Nevera terletak pada sistem bateri, rangkaian kuasa dan sistem bateri canggih yang semuanya dibangunkan sendiri di Rimac Group.

 

Rimac Nevera

 

Keempat-empat roda mempunyai motor berasingan dan menguasakan setiap roda secara bebas.

Kapasiti bateri 120 kilowatt-jam dan angka yang dihamburkan 1,914 kuasa kuda (hp) dengan daya kilas 2,360Nm. Kelajuan tertinggi mencecah 412 km/j.

Berbalik kepada ketokohan, sementara Elon Musk mengabdikan nama Tesla pada syarikatnya, Mate Rimac menggunakan nama beliau sendiri. Bugatti pula dikenali sebagai Bugatti Rimac.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Rimac Nevera 15th Anniversary Edition