Dari sumber-sumber informasi Careta, satu sistem akan dilancarkan di mana orang awam boleh membuat aduan sekiranya ternampak penunggang-penunggang itu melanggar undang-undang jalan raya.
Ini dilakukan agar ia mampu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya, disamping menjaga nama perkhidmatan itu.
Buat setakat sekarang, tidak dipastikan bagaimana sistem aduan itu akan dilakukan. Mungkin orang awam memuat-naik gambar pesalah laku dan berkongsi lokasi serta masa kejadian ke satu sistem yang akan diterima oleh operator-operator P-hailing.
Careta diberitahu bahawa pihak kerajaan sudah meluluskan perancangan ini dan akan dilancarkan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Lembah Klang, Selangor dan Putrajaya.
Sekarang ini semakin ramai netizen yang mengeluh kerana setiap hari mereka melihat penunggang-penunggang motosikal P-hailing ini tidak mengendahkan lampu isyarat dan undang-undang lain.
Sumber Careta juga berkata alasan seperti berhenti di lampu merah akan mengurangkan pendapatan mereka tidak boleh diterima.
"Jika logik itu diterima, maknanya saya boleh berkata pendapatan saya rendah kerana tidak dapat merompak bank," ujarnya sinis.
"Pengguna motosikal perlu sedar dan bersifat matang kerana undang-undang dibuat untuk melindungi mereka.
Mereka bukan kebal. Jika isyarat lampu merah pun diabaikan, bayangkan apa lagi undang-undang lain yang mereka abaikan," sambungnya.
Cadangan ini diharapkan berkesan dan mampu mengubah kadar disiplin penunggang-penunggang motosikal P-hailing, dan harapnya dipanjangkan untuk kenderaan lain juga kerana nampaknya bukan hanya motosikal, kereta, trak, SUV, MPV dan lain-lain genre kenderaan juga sudah tidak mahu menghormati lampu isyarat.