RHB Research - Myvi, Axia, Saga model paling banyak dibeli dalam tempoh dua tahun ini

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Pembelian kenderaan dalam dua tahun ini kebanyakannya adalah pembelian model yang berharga lebih murah seperti Perodua Myvi dan Axia, serta Proton Saga.

Penganalisis RHB Research, Syahril Hanafiah, berkata ia menyumbang kepada peningkatan tahunan sebanyak 7.6 peratus pinjaman kasar bagi tujuan pembelian kenderaan pada 2022 dan 6.3 peratus dari Januari hingga Ogos tahun ini.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

"Meskipun kenderaan berharga lebih rendah mungkin terus mendorong jumlah keseluruhan industri (TIV) dalam keadaan kadar faedah tinggi, kami menjangka TIV akan mereda ke paras lebih normal pada 2024, mungkin dalam lingkungan 600,000 hingga 650,000 unit," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Syahril berkata, TIV bagi Januari hingga Ogos 2023 telah mencecah 502,000 unit, meningkat 11.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu selepas menambah 72,000 unit lagi pada Ogos.

"Kami berfikir TIV berkemungkinan untuk mencapai anggaran 2023 kami sebanyak 725,000 unit kerana kami secara konservatif mengandaikan 56,000 unit terjual setiap bulan daripada September hingga Disember. Jumlah ini adalah lebih rendah berbanding purata TIV bulanan 12 bulan lalu iaitu 64,000 unit.

"Walaupun mengakui adanya risiko positif terhadap andaian initerutamanya jika empat bulan selebihnya mencatat jualan kenderaan lebih tinggi daripada jangkaan, kami yakin pasaran telahpun mengambil kira potensi tahun yang memecah rekod pada 2023 dalam harga," katanya.

gambar hiasan

Beliau berkata, meskipun prestasi jualan setakat tahun ini adalah kukuh, dimaklumkan bahawa tunggakan pesanan bagi jenama-jenama utama seperti Toyota dan Perodua sudah mula mereda.

Katanya, tunggakan pesanan Perodua setakat Februari, Mei dan Ogos mencecah 220,000, 190,000, dan 155,000, manakala Toyota pula sebanyak 50,000, 52,000, dan 40,000.

"Tunggakan yang semakin berkurangan ini menyokong hujah kami bahawa TIV pada 2024 mungkin menurun berbanding setahun lalu, terutamanya selepas mencatat dua tahun yang kukuh pada 2022 dan 2023.

"Biarpun terdapat pelancaran kenderaan elektrik (EV) baharu akan datang pada akhir 2023 dan 2024 seperti BYD Seal, BMW i5 Full Electric, serta Toyota bZ4X, kami tidak menjangka perkara ini akan memberi kesan ketara terhadap TIV pada 2024," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syahril berkata memandangkan Malaysia menyasar untuk menjadi negara pengeluaran gas rumah hijau (GRH) sifar bersih menjelang 2050, RHB Research yakin tumpuan untuk sektor automotif adalah mendorong penggunaan EV di Malaysia, dengan pewujudan ekosistem EV yang lebih luas

dan insentif untuk penggunaan EV bakal menjadi tumpuan utama.

"Hal ini mungkin termasuk insentif bagi pemasangan prasarana pengecasan EV, insentif untuk EV yang dipasang tempatan, pembaharuan cukai jalan EV serta subsidi dan bantuan kewangan buat pembelian EV," katanya.

Beliau berkata, RHB Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham-saham syarikat berkaitan automotif.

"Kami tetap berjaga-jaga ekoran jualan kereta yang melemah pada 2024, disebabkan oleh ketidaktentuan yang wujud dan kurangnya pemangkin," katanya.

 

Berita Harian