Review Mazda CX-60: Alternatif Mewah Dalam Segmen D

oleh Qalif Latif|
Awal September lalu, Bermaz Motor melancarkan Mazda CX-60 untuk pasaran Malaysia. Bermaz turut memberi peluang kepada penulis untuk memandu uji SUV segmen D ini selama beberapa hari. Ramai yang keliru, adakah CX-60 pengganti kepada Mazda CX-5? Jawapannya tidak. CX-60 diletakkan lebih tinggi dalam segmen D dan menjadi pesaing terus kepada BMW X3, Mercedes-Benz GLC dan Lexus NX.

Rekaan Luar: KODO Design yang Dewasa

Mazda CX-60 mengekalkan falsafah reka bentuk KODO yang mula diperkenalkan sejak 2010. Itu sebabnya wajah depan SUV ini masih ada DNA Mazda yang kuat. Namun CX-60 tampil lebih matang dengan gril besar beralun, bersambung kemas dengan lampu hadapan Adaptive LED. Ia memberi imej mewah dan agresif tanpa perlu terlalu berlebihan.

Mazda CX-60

 

Dari sisi, CX-60 bukan lagi sebuah SUV berbentuk kotak tipikal. Garisannya panjang, seakan fastback yang ditinggikan. Ia nampak sporty tetapi masih mengekalkan keanggunan sebuah SUV premium. Unit pinjaman kepada penulis dipadankan dengan rim aloi 20 inci bersama tayar 235/50R20, digandingkan dengan suspensi depan Double Wishbone dan belakang Multi-Link, sesuai untuk keseimbangan keselesaan dan pengendalian.

Bahagian belakang pula ringkas, dengan lampu brek LED ala identiti Mazda. Tiada bar LED panjang ala kereta moden China, sebaliknya Mazda kekal dengan gaya tersendiri. Ruang but berkapasiti 570 liter, dan jika kerusi baris kedua direbahkan, ia boleh mencecah 1,726 liter. Tayar simpanan serta subwoofer juga ditempatkan kemas di ruang bawah but.

Mazda CX-60

Enjin, Transmisi dan Pengendalian

Di bawah bonet, CX-60 dibekalkan enjin 2.5L 4-silinder NA Skyactiv-G, menghasilkan 189 hp dan 261 Nm tork. Ia digandingkan dengan transmisi automatik 8-kelajuan baharu yang menggunakan multi-plate clutch menggantikan torque converter tradisional.

Mazda CX-60

Satu ciri yang membezakan CX-60 dengan kebanyakan SUV Jepun lain ialah pacuan roda belakang. CX-60 dibangunkan atas platform enjin longitudinal yang lebih dekat DNA-nya dengan SUV Jerman premium. Dalam pemanduan sebenar, walaupun ia bukan turbo, penghantaran kuasa terasa linear, tenang dan stabil.

Kabin: Premium Jepun Dengan Sentuhan Praktikal

Masuk ke dalam kabin, rasa premium jelas terasa. Panel dashboard menggunakan material lembut, trim kulit hitam menaikkan suasana mewah dan panoramic sunroof memberi rasa luas serta terang.

Mazda CX-60

Sistem infotainment Mazda Connect menggunakan skrin 12.3 inci, lengkap dengan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto berwayar. Yang menarik, kawalan infotainment masih kekal dengan tombol fizikal di konsol tengah dan skrin bukan jenis sentuhan. Bagi penulis, ini lebih ergonomik kerana mengurangkan gangguan ketika memandu.

Mazda CX-60

Kawalan penghawa dingin masih ada butang fizikal, mudah untuk digunakan. Tersedia juga wireless charger satu slot, empat port USB-C serta sistem audio Bose 12 speaker yang menghasilkan kualiti bunyi premium.

Mazda CX-60

Kerusi depan datang dengan larasan kuasa 10-hala pemandu dan 8-hala penumpang serta fungsi memori bersama sistem personalisasi pemandu. Jadi kedudukan tempat duduk, cermin sisi dan paparan digital akan automatik mengikut profil pemandu.

Keselamatan Lengkap Dengan i-Activsense

Mazda CX-60 dilengkapi penuh dengan teknologi keselamatan i-Activsense. Antaranya Adaptive LED Headlamps, Lane Keep Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert, Front Cross Traffic Alert, Mazda Radar Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Smart Brake Support depan dan belakang serta Driver Attention Alert.

Mazda CX-60

Keseluruhan terdapat tujuh beg udara termasuk knee airbag untuk pemandu. ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak juga tersedia.

SUV Premium Paling Berbaloi

Mazda CX-60 dijual pada harga RM200,510.40 tanpa insurans. Dengan anggaran bayaran bulanan sekitar RM2,100 untuk pinjaman sembilan tahun, ia menjadi SUV segmen D paling kompetitif jika dibandingkan dengan BMW X3, Mercedes-Benz GLC atau Lexus NX.

Sebagai perbandingan, BMW X3 di Malaysia berharga sekitar RM320,000 manakala Mercedes-Benz GLC pula mencecah lebih RM350,000. Ini menjadikan harga CX-60 jauh lebih kompetitif berbanding pesaing Jerman, sambil tetap menawarkan reka bentuk matang, kabin premium, teknologi lengkap dan platform pacuan roda belakang.

Selepas beberapa hari bersama CX-60, penulis dapat simpulkan ia adalah SUV Jepun yang serius mencabar dominasi jenama premium Eropah. Dengan pakej yang ditawarkan, CX-60 muncul sebagai alternatif mewah dalam segmen D yang benar-benar berbaloi dimiliki.

Mazda CX-60


 

Berita Berkenaan

Pelancaran
SUV crossover segmen pertengahan itu menjadi model flagship baharu Mazda, menggabungkan prestasi,…
Model Terbaharu
Sebagai SUV flagship Mazda yang baru, CX-60 membawa tahap sofistikasi, prestasi, dan kemewahan…
Model Terbaharu
Untuk pengetahuan anda, dua buah CX-60 dikesan itu merupakan unit pandu uji yang sedang dipandu…