Kali ini, Luminox melancarkan model Navy Seal Siri 3500, evolusi dari model paling popular mereka, Navy Seal.
Ia datang dalam badan lebih besar - 45 mm dan boleh didapati dalam tujuh warna - dari warna stealth hitam hingga ke warna kuning yang digemari oleh penyelam scuba.
Ia bukan calang-calang jam dan walaupun harganya dalam lingkungan RM2,200 (atau kurang jika anda pandai mencari, dan jangan tersilap dengan model Luminox yang bersaiz lebih kecil), ia mempunyai fungsi yang sama atau lebih hebat dari jam jenama yang dua atau tiga kali ganda lebih mahal.
Badan jam Navy Seal Siri 3500 ini diperbuat dari bahan karbon sementara bezel jam ini boleh dipusingkan arah kiri atau kanan.
Kunci sisi atau crown pula dibuat menggunakan besi stainless dengan logo Luminox terukir di kepalanya.
Dua gasket diberikan pada crown ini untuk memastikan jam ini kalis air sehingga ke kedalaman 200 meter (20 ATM atau 660 kaki).
Cermin jam pula ialah dari jenis Hardened Mineral Crystal yang memang lasar sementara tali jam pula ialah dalam bentuk strap PU dengan kepala Luminox brushed stainless steel atau jika mahu, tukar kepada tali jam Carbon Compound warna hitam yang tidak akan tercalar atau luntur.
Penulis diberi peluang untuk menguji jam ini, satu dari model Luminox Navy Seal 3500 Series BO (Black Out) dan satu lagi ialah Luminox Seal 3502 - model yang sama cuma warna tulisan dalam warna putih.
Untuk varian Luminox Seal 3502, ia nampak klasik. Jam lelaki dengan bezel besar dan tulisan putih pada badan hitam, dipadankan dengan strap Carbon Compound nampak biasa tetapi sekali imbas, mereka yang melihat sudah tahu ia bukan jam dari Jepun.
Mungkin kerana badan jam Luminox ini dari Carbon Compound juga yang memberikan efek cat mati dan nampak mahal.
Begitu juga dengan tulisan atau “font” yang digunakan - besar dan jelas.
Penulis tidak ada masalah melihat waktu walaupun ketika menunggang basikal mountain atau menunggang motosikal.
Ia juga tidak begitu tebal, membolehkan penulis menyorokkan jam ini di bawah sarung tangan menunggang. Dan bila berjalan, ia tidak tersangkut di pintu besi atau di mana-mana.
Paling menarik, kerana jam ini cuma seberat 71 gram, ia seolah-olah menjadi anggota badan penulis sendiri dan banyak kali penulis terlupa jam Luminox ini sedang dipakai.
Untuk model Luminox Navy Seal 3500 Series BO (Black Out), ia lebih glamour kerana kesemua jam ini dibuat dalam warna hitam mati.
Hinggakan logo Luminox pun di dalam warna hitam dan hanya kelihatan bila diperhatikan betul-betul.
Model ini juga yang paling banyak menerima pertanyaan apabila penulis memakainya kerana jam serba hitam ini dikira “cool”.
Keduanya penulis gunakan untuk kerja harian. Digunakan bergilir-gilir, penulis menunggang basikal, menunggang motosikal untuk perjalanan jauh, meredah hutan dan lumpur dalam ekspedisi 4X4, masuk keluar mesyuarat, ke luar negara, berkhemah, mandi sungai dan sebagainya.
Mekanisma quartz dari Switzerland itu juga tahan gegaran kerana aktiviti-aktiviti yang dilakukan memang lasak dan banyak hentakan dikenakan.
Menunggang motosikal pula menghasilkan gegaran kecil yang lama dan jam Luminox ini nampaknya masih tidak terkesan selepas beberapa bulan menggunakannya.
Light tube atau tiub cahaya pada permukaan jam Navy Seal Siri 3500 ini pula terang dan akan sentiasa bercahaya sehingga 25 tahun. Ada 16 tiub cahaya dengan teknologi Luminox Light pada jam ini dan bila gelap, anda kerling sahaja dan anda akan tahu waktunya - tidak perlu lagi terkial-kial mencari cahaya atau melihat dengan dekat atau memicit butang untuk menghidupkan lampu.
Yang paling penulis suka ialah Luminox Navy Seal Siri 3500 ini boleh dipakaikan dengan pakaian formal, penting untuk eksekutif-eksekutif yang sering keluar masuk mesyuarat atau bertemu dengan pelanggan. Ia tidak nampak terlalu kebudak-budakan dan kerana saiznya yang sedang-sedang ini, ia kemas dan tidak terlalu “menunjuk-nunjuk”.
*Gambar-gambar yang digunakan ialah dari unit-unit Luminox yang telah penulis gunakan, untuk menunjukan betapa lasaknya ia setelah berbulan digunakan.