Rentaka - HMAV 4x4 buatan tempatan kedua selepas Tarantula

oleh Mohamad Hanif|
Sumber gambar: FB Geng Keselamatan Negara
Rentaka, itulah nama yang diberi oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4x4) yang dikeluarkan Mildef International Technologies Sdn Bhd (Mildef).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Rentaka merupakan kenderaan HMAV 4x4 kedua negara selepas Tarantula yang dilancarkan tahun lepas yang berupaya digunakan pihak keselamatan khususnya ketika rusuhan selain mampu berperanan sebagai kenderaan penting ketika kecemasan.

Ketua Perolehan Mildef Mohd Ruhaizat Mohd Din berkata kenderaan itu berpotensi untuk dijadikan sebagai kenderaan penting agensi penguatkuasaan negara kerana kemampuan dan saiznya yang bersesuaian.

Beliau berkata kenderaaan seberat hampir 9,000 kilogram bagi muatan penuh itu dihasilkan sepenuhnya menggunakan kepakaran anak tempatan.

"Terdapat beberapa teknologi luar yang digunakan termasuk sistem pengawasan luar negara yang penting untuk melindungi anggota dan individu di dalam kenderaan itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2022, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, jika dibandingkan dengan Tarantula, Rentaka bersaiz lebih kecil namun dari segi muatan ia mampu menampung sehingga 10 penumpang.

"Kami juga mencadangkannya kepada Kementerian Dalam Negeri yang dilihat amat memerlukan kenderaan perisai dengan kepakaran tempatan setanding negara luar sekali gus memberi banyak kelebihan jika ia digunakan kerajaan,” katanya.

Mohd Ruhaizat berkata kenderaan berkuasa 6.7 liter V8 Turbo Diesel itu turut menjadi tumpuan beberapa wakil agensi keselamatan luar pada pameran berkenaan.

Beliau berkata antara wakil negara yang menyatakan minat terhadap kenderaan itu adalah Qatar dan Vietnam yang kini telah menghantar pertanyaan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Sumber: BERNAMA