Renault Megane RS Trophy-R - untuk mereka yang serius! (harga dari RM256k di Eropah)

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Hot hatch pacuan roda hadapan Renault Megane RS Trophy-R telah berjaya menamatkan penguasaan rekod terpantas Honda Civic Type R di Litar Nurburgring dengan catatan masa 7:40.1. 

Jadi, anda mungkin ada sebab baharu untuk mendapatkan sebuah hot hatch dari Perancis yang pantas, rupa yang menawan dan tidaklah terlalu kompleks seperti pesaingnya. 
 


Berita baik, Renault kini telah mendedahkan perincian data spesifikasi bagi Megane RS Trophy-R yang khabarnya sudah pun mula dijual kepada umum. 

Berita kurang baiknya, Megane RS Trophy R hanya eksklusif kepada 500 orang pembeli terpantas (kereta pantas memerlukan pembeli yang pantas) di pasaran yang terpilih, termasuklah Perancis itu sendiri, Jerman, UK, Switzerland dan Jepun. 
 


Apa yang menyebabkan Megane RS Trophy R lebih pantas berbanding biasa ialah diet pengurangan berat sebanyak 130 kg, terima kasih kepada penggunaan cermin kaca lebih nipis pada pintu belakang, bonet gentian karbon, tiada tempat duduk belakang, set ekzos titanium dan wiper belakang ditiadakan. 

Manakala casis pula telah ditala secukup rasa dan dibantu pengendaliannya oleh penggunaan suspensi boleh laras Ohlins jenis dual-flow valve dampers, spring dan torsion beam yang lebih ringan, dan pakej aerodinamik yang serius. 
 


Untuk mereka yang mahukan Megane RS Trophy-R yang lebih ringan boleh mendapatkan opsyen set rim daripada gentian karbon. 

Namun, perubahan besar yang dibawakan oleh Trophy-R adalah ketiadaan sistem stereng belakang aktif seperti mana yang terdapat pada Megane RS. 

Menurut jurutera Renault Sport, perubahan tersebut dilakukan bagi membolehkan sebuah Megane yang lebih serius meratah selekoh dengan konsisten di litar lumba. 
 


Jadi, dengan penalaan yang sedemikian rupa, Megane RS Trophy-R masih mampu mencatatkan rekod pecutan sepantas 5.4 saat (0-100 km/j) walaupun masih kekal dengan enjin 1.8 liter turbo empat silinder sebaris dengan 296 hp dan 400 Nm.

Harga jualan di Perancis pula bermula dari €55,000 (RM255,835 mengikut kadar pertukaran mata wang semasa). 

Jadi, Honda Civic Type R atau Renault Megane RS Trophy-R?

Tepuk dada, tanyalah akaun bank anda!