Renault Megane RS facelift mendarat di Malaysia - bulanan serendah RM5,200 sahaja!

oleh Mohamad Hanif|
TC Euro Cars baru-baru ini melancarkan model facelift hot hatch Renault Megane RS untuk pasaran Malaysia di dalam versi RS 300 Trophy.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Beberapa perubahan boleh dikesan seperti unit lampu LED penuh, lampu nyalaan siang yang dikemaskini, serta unit lampu belakang dengan signatur LED baharu, diikuti dengan pemasangan rim bersaiz 19 inci Perez.

 


Ruang kabin pula menerima kluster instrumen digital baharu dengan skrin informasi tujuh inci TFT yang boleh disesuaikan, diikuti dengan skrin infotainmen Easylink bersaiz tujuh inci yang lengkap dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Unit kuasa yang didatangkan juga turut dikemaskini dengan peningkatan output, di mana enjin 1.8 liter turbo itu mampu menjana kuasa sehingga 296 hp dan daya kilas 420 Nm, namun opsyen transmisi manual kini tidak lagi tersedia, hanya transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) sahaja.

 


Pecutan 0-100 km/j kini mengambil masa sekitar 5.7 saat, dan model Trophy ini turut diberikan fokus kepada pengendalian yang lebih baik, di mana aspek seperti spring dan peredam kini lebih keras 30 peratus dan 25 peratus berbanding model RS 300.

Bar anti-oleng juga 10 peratus lebih tegar berbanding unit yang dimuatkan pada kereta standard.

 


Harga jualan untuk pasaran Malaysia bermula dari RM326,476 atas jalan tanpa insurans, dan didatangkan dengan jaminan selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 km yang mana terdahulu.

Terdapat juga program langganan dengan bayaran bulanan serendah RM7,200 untuk tempoh satu tahun, RM6,200 sebulan untuk pelan dua tahun, dan RM5,200 sebulan untuk pelan langganan selama tiga tahun, dan harga yang disebutkan itu tadi adalah termasuk cukai jalan, insurans, servis berkala dengan had perbatuan 20,000 km untuk satu tahun.