Renault Megane E-Tech - wagon PHEV, jarak operasi sifar emisi 50 km!

oleh Mohamad Hanif|
Untuk tahun 2020, Renault telah mengemaskini penawaran model Megane mereka dengan menambah sebuah varian plug-in hybrid, Renault Megane E-Tech dan khusus dalam bentuk wagon sahaja.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Renault Megane E-Tech didatangkan dengan nadi 1.6 liter yang dibantu dengan motor elektrik berkembar menghasilkan kuasa keseluruhan 160 PS. 

 


Sistem transmisi pula adalah sistem kotak gear inovatif berbilang mod tanpa klac yang mampu melancarkan lagi penukaran gear ketika sedang memandu. 

Sentuh pasal sistem plug-in hybrid, Renault Megane E-Tech ini dilengkapi dengan pek bateri 9.8 kWh yang membenarkan operasi sifar emisi sejauh 50 kilometer menurut ujian WLTP.

 


Tiga mod pemanduan ditawarkan termasuklah:

  • Pure - mod elektrik semata-mata
  • MySense - mengoptimasi sistem hibrid dengan ciri E-Save untuk menjimatkan kira-kira 40 peratus penggunaan kuasa
  • Sport - mod pemanduan yang mengutamakan prestasi

Renault juga turut mengemaskini ruang kabin dengan menawarkan skrin digital 10.2 inci di hadapan pemandu, serta skrin infotainmen bersaiz 9.3 inci di bahagian tengah yang menawarkan sambungan navigasi dan juga peranti pintar. 

 


Sistem pemanduan autonomi Tahap Kedua membolehkan pemandu mengaktifkan ciri seperti Highway & Traffic Jam Companion dalam julat kelajuan 0-160 km/j untuk pemanduan seharian yang lebih menyenangkan. 

Selain daripada varian E-Tech, Renault masih lagi menawarkan beberapa opsyen enjin termasuklah enjin 1.3 liter TCe (100 PS, 115 PS, 140 PS, dan 160 PS) dan enjin 1.0 liter TCe (120 PS) yang bakal ditawarkan pada akhir tahun ini. 

Tidak ketinggalan, dua enjin diesel dengan output serendah 95 PS sehinggalah 115 PS. 
 


Renault juga turut memperkenalkan varian Megane RS Line bagi menggantikan varian GT Line dengan membawakan ciri-ciri yang menyamai model RS seperti bilah stail F1, gril sarang lebah, paip ekzos berkembar, rim 17 atau 18 inci, tempat duduk sporty, stereng balutan kulit berliang dengan logo RS serta beberapa ciri tambahan yang lain.
 


Manakala model berkuasa Megane RS 2020 pula, ia hanya ditawarkan dalam casis Sport sahaja dengan talaan kuasa 300 PS dan daya kilas 420 Nm dengan transmisi manual, dan anda boleh mendapatkan tambahan kuasa sehingga 20 PS dan 30 Nm apabila memilih transmisi EDC. 

Renault Megane RS turut menampilkan injap mekanikal yang mampu mengubah runut bunyi hot hatch anda!
 


Tidak dilupakan, Renault Megane RS Trophy 2020, jentera hot hatch yang hanya ditawarkan dalam casis Cup dan kuasa sekitar 300 PS turut membawakan perubahan seperti lampu utama LED baharu, antena sirip jerung, kaca belakang gelap, serta upholsteri Alcantara.