Renault Master H2-Tech Prototype boleh dipandu sehingga 700 kilometer (WLTP) dan pengisian semula dalam masa lima minit.
Van prototaip ini adalah hasil pembangunan selama lebih tiga tahun oleh HYVIA dan berdasarkan maklum balas pelanggan yang menggunakan dua versi awal H2-Tech sejak 2023.
Van ini direka bentuk untuk menawarkan ketersediaan operasi yang berterusan dan ketenangan fikiran bagi penggunaan intensif oleh industri.
Sebagai kenderaan komersial, van ini disesuaikan untuk pelbagai kegunaan intensif sebagai contoh van, badan casis, badan lantai (floor cab) atau diubah suai mengikut keperluan.
Sejak dari awal lagi binaan untuk hidrogen telah diambil kira bagi mengekalkan ruang barangan dan beban muatan.
Satu lagi ciri pada van ini ialah sistem multimedia bersepadu untuk pengurusan jarak dan penggunaan hidrogen yang optimum.
Renault Master H2-Tech akan dipasarkan oleh Renault dan rangkaian pengedar pakar H2-Tech bagi khidmat jualan dan selepas jualan.
Mungkin ada yang masih tertanya mengenai keperluan hidrogen di kala stesen pengisian tidak sebanyak pusat pengecasan elektrik.
Jawapannya ialah kenderaan hidrogen bukan untuk menggantikan kenderaan elektrik (BEV) tetapi satu daripada pilihan yang ada.
Kekurangan stesen pengisian hidrogen pula boleh ditangani melalui perancangan.
Sebagai contoh jarak pemanduan Renault Master H2-Tech ialah 700 km dan syarikat boleh merancang untuk penghantaran dalam lingkungan itu sahaja.
Stesen pengisian boleh dibangunkan di depoh syarikat dan paling tidak dapat mengurangkan beban pada grid elektrik apabila belasan atau puluhan BEV dicas serentak.
Penulis: Muhammad Md Tajudin