Renault lancar Mobilize Limo - sedan EV 148 hp/220 Nm, bukan untuk dijual kepada umum

oleh Mohamad Hanif|
Renault baru-baru ini melancarkan sebuah model berkuasa elektrik sepenuhnya yang tidak akan dijual kepada umum, sebaliknya ditujukan kepada pengendali teksi, perkhidmatan seru-pandu dan kegunaan armada.

Mobilize Limo secara asasnya merupakan sebuah sedan (dengan rekaan fastback) dengan jarak kelegaan tanah yang sedikit tinggi dan memiliki ukuran 4.67 meter, lebar 1.83 meter, tinggi 1.47 meter dengan jarak antara roda sepanjang 2.75 meter.

Disebabkan dimensi dan lantai yang rata (platform EV), Mobilize Limo ini mampu menawarkan ruang yang selesa untuk tiga orang penumpang di belakang, dengan ruang lutut sebesar 288 mm, serta ruang kargo sebesar 411 liter.
 

Limo


Bahagian kabin menampilkan penggunaan bahan kulit jenis sentuh lembut TEP untuk memudahkan urusan pembersihan, serta kemasan gentian karbon pada papan pemuka yang menempatkan skrin kluster digital bersaiz 10.25 inci, dan skrin infotainmen bersaiz 12.3 inci.

Terowong tengah mampu memuatkan ruang penyejukan minuman, sementara penumpang belakang pula turut mendapat slot pengecasan USB, punat kawalan iklim, lampu bacaan serta tombol kawalan audio yang tersendiri.
 

Limo


Trenkuasa elektrik yang digunakan pula terdiri daripada motor elektrik berkuasa 148 hp dan daya kilas 220 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 9.6 saat dan kelajuan tertinggi 140 km/j, sementara pek bateri 60 kWh pula membenarkan pemanduan sejauh 450 km mengikut data WLTP.

Mobilize Limo turut menyokong pengecasan pantas yang membolehkan pemandu menambah jarak pergerakan 241 km dalam masa 40 minit sahaja.

Antara ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal laluan, serta amaran lintasan trafik belakang.
 

Limo


Selepas pelancaran rasmi pada 8 September ini, Renault akan memulakan proses pengujian yang melibatkan armada sebesar 40 buah kenderaan menggunakan jalan di sekitar Eropah.

Menjelang separuh kedua 2022, Mobilize bakal menawarkan pakej langganan yang turut merangkumi kos pengecasan, penyelenggaran, insurans dan juga jaminan menyeluruh yang khusus untuk pemandu professional serta perkhidmatan seru-pandu.

Ini bermakna, anda sebagai pemilik persendirian tidak akan mempunyai peluang untuk memiliki sedan elektrik ini.