Renault Koleos - supermodel Perancis kacukan Nippon

oleh HEZERI SAMSURI|
Antara SUV yang unik di dalam pasaran Malaysia sebenarnya ialah dari jenama Renault, iaitu Koleos. Mungkin nama Koleos itu pelik, walaupun maksud Koleos di dalam bahasa Greek sebenarnya ialah sarung pisau.

Koleos adalah bukti usahasama antara Renault dan Nissan, di mana kedua-dua syarikat itu sebenarnya bergabung di bawah Pakatan Renault-Nissan.

Ini ialah kerana Koleos menggunakan platform, enjin dan transmisi dari Nissan X-Trail.

Kita boleh katakan ia adalah sebuah X-Trail yang menggunakan badan Eropah, dan kerana itu, ia memang nampak jauh lebih premium dan jauh lebih segak.

Enjin 2.5L 4-silinder menghasilkan 171 PS pada 6,000 rpm dan 226 Nm pada 4,400 rpm hampir sama dengan enjin X-Trail 2.5L, cuma talaan diubah sedikit kerana Koleos ini lebih berat.

Transmisi pula ialah dari jenis X-tronic CVT, pacuan roda hadapan atau pacuan empat roda 4WD.

Dari segi keselamatan, 6 beg udara diberikan, lengkap dengan ABS, EBD, ESC dan sebagainya. Ini Renault, maka keselamatan lebih utama (Renault mempunyai lebih banyak model 5-bintant NCAP berbanding dengan Volvo ya).

Dihasilkan di Korea, cuma ada satu varian sahaja untuk Koleos di Malaysia.

Bentuknya memang unik dan berani dan pasti akan membuat ramai tertoleh. Tidak dapat dinafikan, rekabentuk Eropah memang ada wow.

Koleos juga cuma mampu mengisi 5 orang penumpang, walaupun dua kerusi di barisan ketiga di dalam X-Trail hanya untuk mereka yang tidak berkaki.

Satu lagi keistimewaan Koleos ialah sistem infotainment R-Link 2 pada SUV Perancis ini. Ia mempunyai papan meter dengan skrin 7 inci yang canggih dan boleh bertukar warna, mengikut pilihan anda.

Konsol tengah pada papan pemuka juga dihiasi dengan skrin TFT sesentuh sebesar 8.7 inci. Kawalan lanjutan untuk pendingin hawa, sistem audio, navigasi satelit dan pelbagai lagi mampu membuat ramai melopong mulut.

Sistem audio dari Arkamys dengan lapan pembesar suara juga menarik peminat musik, dan ada empat lubang USB serta tiga soket 12V. 

Yang tidak ada ialah sistem audio Apple CarPlay atau Android Auto untuk disambungkan kepada sistem itu.

Tempat duduk penumpang memang luas, dan ruang lega kaki memang disambut baik. Ia juga ada corong pendingin hawa untuk penumpang di belakang.

Ruang boot sebesar 624 liter itu adalah antara yang terbesar di dalam kategori SUV ini. Ia memang juara dari segi praktikaliti, walaupun hanya ada lima tempat duduk.

Seperti Renault lain, kunci ialah dari jenis kad tebal - yang sesuai untuk kaum wanita kerana amat mudah mencari kad kunci ini bila di simpan di dalam henbeg Doraemon mereka.

Untuk lelaki, tiada masalah kerana kad kunci itu lebih nipis dari iPhone tetapi jika anda jenis lelaki yang suka memakai seluar seketat “leotard” yang dipakai Kak Nita dalam zaman 80-an, anda mungkin mempunyai masalah kerana tidak akan muat di dalam kocek hadapan ataupun belakang seluar ketat anda.

Masuk ke dalam dan anda tahu ia sebuah SUV yang istimewa. Dengan paparan bertukar warna dan gaya kabin Eropah, tidak ada sesiapa yang akan tahu ia sebenarnya bernadikan sebuah kereta Jepun.

Koleos ini adalah sebuah SUV yang bersifat biasa bila ia dipandu. Sistem gantungan sedikit keras, seperti kereta Eropah dari Perancis tetapi tidak begitu menyakitkan.

Di selekoh, ia memang mampu pergi laju tanpa sebarang rungutan. Stereng dirasakan sedikit kejung tetapi Koleos masih mengikut kata.

Di atas lebuhraya, tidak ada masalah untuknya dipandu laju dan di dalam bandar, ia juga tidak kekok untuk dibawa menyelit ke sana ke sini untuk mencari parkir. Sayang sekali, ia tidak ada kamera 360-degree seperti X-Trail, walaupun penulis merasakan sistem kamera seperti itu lebih indah khabar dari rupa.

Pada sebelah malam, lampu hadapan jenis LED memang menerangi jalanraya dengan sangat terang. 

Ringkasnya, Koleos ialah sebuah SUV yang biasa-biasa di atas jalanraya, tetapi mempunyai luaran yang cukup hebat.

Anggapkan ia seperti seorang supermodel yang cantik, tetapi bila dibawa berborak, ia umpama berborak dengan orang kebiasaan sahaja. 

Namun begitu, anda perlu membayar lebih ya untuk kelihatan berdampingan dengan super model Perancis ini. Harga Koleos 2WD bermula dari RM184,200 (tanpa insurans) dan Koleos 4WD bermula dari RM208,800.

Harga Nissan X-Trail 2.5L 4WD? RM159,200. Gulp … banyak beza ya.

koleos

 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Dengan spesifikasi standard, namun dengan tayar AD08R 19 inci yang disumbangkan oleh Yokohama…
Berita Global
Menurut laporan daripada AutoExpress UK, terdapat kemungkinan ZOE RS (nama tidak rasmi) bakal…
Model Terbaharu
Dari segi luaran, Nissan tidak mengubah rekaan yang menjadi identiti Nissan Juke seperti lampu…