Renault 5 Turbo 3 - kelahiran semula jentera Group B dalam era moden!

oleh Mohamad Hanif|
Syarikat restorasi yang baharu sahaja ditubuhkan, Legende Automobiles baru-baru ini memperlihatkan hasil kerja restorasi jentera rali Group B era 80-an, iaitu Renault 5 Turbo 3.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut Legende Automobiles, Renault 5 Turbo 3 dibangunkan berdasarkan casis Renault 5, namun dipertingkatkan dengan pemasangan suspensi double-wishbone depan dan belakang daripada jentera R5 Maxi Turbo.

Unit enjin pula dikatakan berupaya menghasilkan 400 kuasa kuda yang disalurkan kepada roda belakang menerusi kotak gear sekuential serta manual shifter yang membolehkan pemandu mengawal penuh kuasa enjin turbo itu tadi.

 


Pasukan yang bertanggungjawab dalam projek ini terdiri daripada pengasasnya, Alan Derosier selaku pereka, Charly Bompas (pemandu aksi ngeri), Alexander Decleves (jurutera mekanikal) dan Pierre Chaveyriat (pembangun kereta lumba).

Menurut pasukan tersebut, mereka mahu menggandingkan setiap aspek yang terbaik daripada model Renault 5 Turbo 1 dan Turbo 2, serta menambah elemen teknologi moden untuk meningkatkan sistem elektrik dan mengurangkan berat badan.

 


Hasilnya, sebuah kenderaan retro-moden yang masih lagi mengekalkan elemen asal diikuti dengan beberapa elemen moden, di mana bahagian panel badan diperbuat daripada gentian karbon berbanding penggunaan bahan aluminium pada model Turbo 1 atau keluli (Turbo 2).

Unit lampu pula menggunakan LED sepenuhnya untuk bahagian depan dan belakang, sementara rim pula masing-masing bersaiz 16 dan 17 inci.

Di bahagian belakang, unit diffuser jenis two-piece itu menempatkan tip ekzos berkembar kustom manakala spoiler belakang pula diwarnakan jingga sama seperti penambahan pada bumbung dan juga tiang A.

 


Ruang kabin pula tidak menampilkan elemen asal Renault 5 di mana kluster instrumen telah digantikan dengan kluster digital sepenuhnya di belakang roda stereng bespoke, diikuti dengan pemasangan sangkar keselamatan, tuil gear, tempat duduk jenis bucket dan tali pinggang keledar enam poin.

Selain itu, papan pemuka yang ringkas itu hanya menampilkan tombol kawalan iklim automatik dua zon namun tiada sebarang sistem infotainmen dimuatkan.

 


Legende Automobiles tidak menyatakan berapa unit Renault 5 Turbo 3 yang bakal dibina, namun sebagai makluman Renault 5 Turbo yang asal dibina sebanyak 5,000 unit sahaja antara tahun 1980 hingga 1986.