Menurut kenyataan itu, APAD sedang bekerjasama dengan agensi terbabit bagi mendapatkan laporan berkaitan sebelum sebarang tindakan lanjut terhadap syarikat pengendali dapat dilaksanakan.
"Sekiranya hasil siasatan dan laporan yang diterima mendapati berlaku sebarang perlanggaran syarat lesen perkhidmatan oleh pihak syarikat, APAD boleh mengambil tindakan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah Seksyen 62, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
"APAD tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang membabitkan kemalangan dan insiden yang berlaku ini amatlah dikesali," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan berkenaan, semakan awal mendapati motor lori treler tersebut telah dilesenkan di bawah kelas lesen Pembawa C.
"Dalam hal ini, APAD memandang serius isu membabitkan keselamatan orang ramai susulan insiden tersebut," kata kenyataan itu.
Pada Selasa, dua penunggang motosikal maut manakala tujuh cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah treler muatan batu pasir merempuh sejumlah kenderaan termasuk motosikal anggota polis trafik di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong berdekatan susur keluar Jalan Persiaran Timur, Putrajaya.