Rempuh SJR: Pemandu Avanza cuba bunuh anggota polis didakwa

oleh SALINA JALIL|
Seorang pemandu lori ais sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ipoh semalam atas dua pertuduhan cubaan membunuh tiga anggota polis yang bertugas mengawal sekatan jalan raya (SJR) pada 27 Mei lalu.


Mohammad Aguib Roslan, 26, yang beralamat di Kampar mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohammad Aguib didakwa memecut laju kereta Toyota Avanza yang dalam pengetahuannya boleh menyebabkan kematian kepada Lans Koperal Mohd Hasanudin Hassan yang mengawal SJR di Jalan Sultan Nazrin Shah (Chandan Desa), Simpang Pulai kira-kira jam 10.30 pagi pada 27 Mei.

 

Pertuduhan kedua pula, Mohammad Aguib didakwa merempuh SJR di Kilometer 19.7, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur (arah Kuala Lumpur), Gopeng yang dikawal Lans Koperal Shahrul Muhairi Muha dan Lans Koperal Ahmad Shahribi Zainun pada hari yang sama, kira-kira jam 11 pagi.

 

Ketika ditanya oleh Azman mengenai tindakannya itu, tertuduh memberitahu dia dianiaya oleh seorang daripada dua rakan yang bersama-sama dalam kenderaan itu dengan bertindak mengacuh T-Baton ke arahnya dan mengarahkannya merempuh kedua-dua SJR kerana mempunyai beberapa rekod jenayah.

 

Kedua-dua pertuduhan ke atas Mohammad Aguib dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun dan denda.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan hakim membenarkan ikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta menetapkan 9 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

 

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, tertuduh bersama dua rakan, Mohamad Ikhwan Fahmiezie Loddin, 21, dan Mohd Ashaduzzaman Mohd Khokon Mia, 23, yang menaiki Toyota Avanza bersama semasa kejadian, mengaku bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan.

 

Mereka didakwa menaiki kenderaan bersama-sama walaupun bukan tinggal di alamat rumah yang sama dan pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 9, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No.6) yang boleh didenda RM1,000 dan penjara tidak melebihi dua bulan atau kedua-duanya.

 

Majistret Umzarul An Nur Umar menjatuhkan hukuman denda RM1,000 ke atas Mohammad Aguib dan tiga bulan penjara jika gagal, manakala Mohamad Ikhwan Fahmiezie dan Mohd Ashaduzzaman dipenjara tiga bulan dari tarikh tangkap iaitu pada 27 Mei.

 

Ketiga-tiga tertuduh juga mengaku bersalah atas dua pertuduhan sengaja menghalang tugas penjawat awam masing-masing dilakukan di SJR Jalan Sultan Nazrin Shah (Chandan Desa), Simpang Pulai kira-kira jam 10.30 pagi dan SJR di Kilometer 19.7, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur (arah Kuala Lumpur), Gopeng pada jam 11 pagi pada 27 Mei.

 

Pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

 

Umzarul An Nur menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM5,000 ke atas Mohammad Aguib bagi dua-dua kesalahan dan tujuh bulan penjara jika gagal membayarnya manakala dua lagi rakannya dipenjara sembilan bulan bagi kedua-dua pertuduhan bermula daripada tarikh tangkap iaitu 27 Mei.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, E.P Sittan.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Siasatan itu dilakukan hasil dari tindakan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana kita…
Berita Domestik
"Sekatan jalan raya itu dijalankan sepasukan anggota dari Balai Polis Bukit Jelutong bermula jam 10…
Berita Domestik
"Tangkapan bersama kenderaan yang terlibat dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik…