Rempuh sekatan jalan raya, Avanza terbabas selepas polis lepas tiga das tembakan

oleh SALINA JALIL|
Polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar sebuah kenderaan dinaiki tiga lelaki yang telah lari dan merempuh tiga sekatan jalan raya dalam satu adegan kejar dari Simpang Pulai hingga ke Chenderiang di Ipoh semalam.


Ketiga-tiga mereka berusia 21, 23 dan 26 tahun masing-masing dari Kampar dan Tapah berjaya ditangkap dalam satu Op Tutup di Chenderiang selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki, terbabas.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, tembakan yang dilepaskan anggota kena pintu hadapan sebelah kiri dan bahagian kanan tayar hadapan menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan melanggar parkir kereta sebuah rumah milik penduduk.

 

"Pemandu dan dua penumpangnya telah berjaya ditangkap, polis terpaksa melepaskan tembakan atas faktor keselamatan awam selepas usaha memberhentikan kenderaan suspek tidak berjaya.

 

"Ketika operasi berkenaan, suspek telah melanggar beberapa kereta yang diletakkan di bahu jalan dan merempuh sekatan yang dibuat, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan berlaku," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh semalam.

 

Beliau berkata, suspek mula melarikan diri apabila diminta berhenti di 'snap check' Jalan Sultan Nazrin Shah, Simpang Pulai atas kesalahan pemandu menggunakan telefon bimbit kira-kira jam 10.30 pagi.

 

Bagaimanapun katanya, kenderaan yang disyaki disewa itu enggan berhenti sebelum memecut laju dan cuba melanggar seorang anggota yang bertugas.

 

"Anggota telah mengekori kenderaan itu menuju ke Jalan Changkat Larang dan menghubungi bilik gerakan untuk bantuan, namun sebaik tiba di sekatan jalan raya RTC Gopeng, suspek merempuh papan tanda dan sekali lagi cuba melanggar anggota bertugas sebelum menuju ke arah pekan Kampar.

 

"Dari pekan Kampar, kenderaan itu berjaya lolos sebelum menuju ke Chenderiang dan berjaya ditahan di sana selepas hampir 45 minit kejar-mengejar sejauh lebih 40 kilometer," katanya.

 

Beliau berkata, hasil ujian air kencing mendapati, ketiga-tiga mereka positif dadah jenis methaphetamin dan mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah dan curi kenderaan, seorang daripada suspek turut dikehendaki bersangkut kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

 

Katanya, berdasarkan percakapan pemandu MPV berusia 26 tahun, dia telah diugut oleh seorang penumpang kenderaan itu menggunakan senjata tajam agar tidak memberhentikan kenderaan kerana bimbang mempunyai rekod lampau.

 

"Mereka datang ke Ipoh atas alasan berhibur dan ada membawa barang salah iaitu syabu, tetapi dadah berkenaan telah dicampak keluar ketika kejar-mengejar.

 

"Usaha mencari syabu berkenaan telah digerakkan menggunakan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9)," katanya.

 

A Asmadi berkata, tiga kertas siasatan telah dibuka bagi kes berkenaan iaitu di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 26 Akta Polis dan Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

"Polis akan mendapatkan perintah reman ke atas ketiga-tiga suspek, esok," katanya.

 

 

 

sumber: SH

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.…
Berita Domestik
"Siasatan itu dilakukan hasil dari tindakan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana kita…
Berita Domestik
"Sekatan jalan raya itu dijalankan sepasukan anggota dari Balai Polis Bukit Jelutong bermula jam 10…