Rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor, pemandu lori treler didakwa

oleh Mohamad Hanif|
Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dakwaan memandu secara melulu sehingga melanggar 11 kenderaan di Tambak Johor, 7 Julai lalu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Tertuduh, Amir Hasan Jalani, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memandu lori secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan 11 kenderaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Tambak Johor kira-kira jam 9.25 pagi, 7 Julai lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak melebihi RM15,000, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, syarikat Level Hill Auto Parts Sdn Bhd menerusi wakilnya, Yap Shee Min, 34, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melanggar syarat lesen pengendali lori kerana lori yang dipandu Amir Hasan, membawa lebih muatan.

Lori yang dipandu Amir Hasan itu didapati membawa muatan seberat 91,240 kilogram berbanding 41,000 kilogram yang dibenarkan.

Perbuatan itu dilakukan di lokasi dan masa yang sama.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 57(1)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos manakala tertuduh dan syarikat itu diwakili peguam, Bustaman Menon Abdul Hamid Menon.

Hayatul Wirdah memohon jaminan ditetapkan sebanyak RM10,000 manakala bagi syarikat pula jaminan dipohon sebanyak RM8,000.

Bagaimanapun, Bustaman Menon memohon jaminan rendah dikenakan kepada Amir Hasan kerana dia mempunyai empat anak yang masih kecil dan isterinya hanya suri rumah serta memiliki pendapatan dianggarkan sebanyak RM1,500.

Mahkamah kemudian membenarkan Amir Hasan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali manakalan syarikat dibenarkan jaminan sebanyak RM3,000.

Kes akan disebut semula pada 5 September depan.

Pada 7 Julai lalu, lori treler yang membawa habuk batu itu merempuh 11 kenderaan di Tambak Johor di sini, didapati membawa muatan melebihi had ditetapkan ketika kemalangan itu berlaku.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, perkara itu diperoleh pihak polis selepas pemeriksaan ke atas lori terbabit dibuat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Dalam kejadian kira-kira 9.25 pagi itu, sebanyak 11 kenderaan dirempuh lori dipandu seorang pemandu lori berusia 34 tahun itu yang didakwa hilang kawalan kerana mengalami masalah teknikal pada brek.

Kemalangan itu membabitkan sebuah lori, sebuah bas, sebuah van dan sembilan buah kereta dengan enam daripadanya adalah kenderaan tempatan, manakala enam yang lain bernombor pendaftaran negara asing.

Kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa mahupun kecederaan, sebaliknya hanya berlaku kerosakan pada kenderaan yang terbabit.

Sumber: Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Dalam kejadian lebih kurang jam 7.39 pagi, mangsa yang bekerja sebagai pemandu bas kilang, Ahmad…
Berita Domestik
Kejadian disedari pemandu lori berusia 52 tahun selepas berhenti untuk memeriksa dentuman kuat yang…
Berita Domestik
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Hasbullah, sistem HS WIM itu boleh beroperasi…