REMAJA PEREMPUAN MAUT MOTOSIKAL BERGESEL LORI

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG remaja perempuan maut manakala adik lelakinya yang menunggang motosikal tanpa lesen patah kaki kiri selepas motosikal dinaiki mereka bergesel dengan lori di Jalan Slim Village berhampiran Kampung Rasau di Tanjung Malim pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 11.30 pagi itu, mangsa Nurul Nazira Hanum Ismail, 17 tahun yang membonceng motosikal jenis Honda RS 150 meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala adiknya, Muhammad Khairul Rezeal, 15, patah kaki kiri.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika lori dipandu lelaki berusia 34 tahun itu dalam perjalanan dari Slim Village menghala ke Slim River.

“Sampai di lokasi kejadian, remaja lelaki berusia 15 tahun cuba memotong lori tersebut, namun terdapat kenderaan lain di arah bertentangan dan menyebabkan mangsa gagal mengelak lalu bergesel dengan lori.

“Kemalangan itu menyebabkan pembonceng motosikal parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal pula patah kaki kiri setelah terjatuh di bahagian tayar belakang lori,” katanya. 

Menurut Superintenden Sulizmie Affendy, mayat mangsa di hantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.