Rel LRT bengkok, DBKL arah pembinaan Menara SOHO dihentikan

oleh Mohamad Hanif|
Susulan insiden kerosakan struktur jejambat yang menyebabkan landasan LRT Laluan Ampang bengkok, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan pemilik projek menghentikan pembinaan serta-merta, menurut laporan Astro Awani.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, "saya telah mengadakan mesyuarat pada 28 Jan 2023 bersama wakil daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan beberapa jabatan dalaman DBKL iaitu Jabatan Perancangan Infrastruktur, Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Perancangan Bandaraya, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran, Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan serta Jabatan Perancangan Korporat.

"Hasil daripada mesyuarat tersebut, DBKL telah mengeluarkan Arahan Memberhentikan Kerja (Stop Work Order) serta-merta kepada Tetuan Persekutuan Seruan Islam (Jam’iyah) Selangor dan Wilayah Persekutuan iaitu pemilik projek Cadangan Membina 1 Blok 44 Tingkat Menara SOHO (326 unit) Dengan 1 Basemen yang terletak di Lot PT 163, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arahan henti kerja serta-merta itu dibuat sebagai langkah keselamatan untuk memastikan pihak APAD dan agensi berkaitan  dapat menjalankan siasatan, penelitian, seterusnya mengenal pasti punca gangguan yang berlaku baru-baru ini.

"Untuk rekod, projek tersebut kini hanya di peringkat awalan iaitu melibatkan kerja-kerja tanah di luar daripada kawasan zon 1 dan zon 2 (protection zone).

"DBKL menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (One Stop Committee atau OSC) akan melibatkan pihak APAD dan Prasarana bagi mendapatkan pandangan mereka khususnya apabila terdapat permohonan pembangunan yang terletak dalam atau berhampiran dengan zon keselamatan kereta api (Railway Protection Zone)," ujarnya.

Terdahulu, perkhidmatan LRT Laluan Ampang dilapor mengalami kelewatan disebabkan kerosakan struktur jejambat yang berpunca daripada kerja pembinaan yang berhampiran.

Rapid Rail Sdn Bhd terpaksa menutup laluan di antara stesen LRT Masjid Jamek dan stesen LRT Bandaraya, dan telah menyediakan perkhidmatan alternatif bas perantara bagi bagi membawa penumpang dari stesen LRT Hang Tuah dan LRT Masjid Jamek.

Sumber: Astro Awani

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata kebenaran merancang bagi projek mega Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM250…
Berita Domestik
Jelas beliau, status semasa kemajuan kapal LCS merangkumi reka bentuk, pembinaan, peralatan serta…
Informasi
"Boleh sahaja kalau nak percepatkan projek ini kita bina eskalator atas tangga, macam sekarang ada…