Rekod jualan kenderaan Oktober kedua tertinggi bagi tahun 2020

oleh SALINA JALIL|
Jualan kenderaan di Malaysia bulan lalu meningkat 5.2 peratus kepada 56,670 unit berbanding 53,870 unit pada bulan sama tahun lalu, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).


Prestasi jualan bagi Oktober itu juga adalah yang kedua tertinggi direkodkan pada tahun ini selepas rekod tertinggi sebelum ini dicatatkan Julai lalu sebanyak 57,552 unit.

 

MAA dalam kenyataannya berkata, jualan kenderaan penumpang pada bulan dikaji melonjak kepada 51,795 unit daripada 48,987 unit pada Oktober 2019, namun jualan kenderaan komersial susut kepada 3,568 unit daripada 3,584 unit bulan sama tahun lalu.

 

Dari segi perbandingan bulan ke bulan, ia berkata jumlah jualan Oktober 2020 meningkat 0.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

 

"Jumlah jualan yang lebih tinggi pada Oktober 2020 disebabkan oleh kempen promosi yang sedang dijalankan oleh syarikat kereta dan juga pengeluaran model baharu," katanya.

 

Bagi 10 bulan pertama tahun ini, MAA berkata jualan masih lagi merosot kepada 398,159 unit berbanding 496,855 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Dalam tempoh 10 bulan 2020, kenderaan penumpang hanya merekodkan jualan sebanyak 361,803 unit berbanding 453,106 tempoh sama tahun lalu manakala jualan kenderaan komersial pula adalah 36,356 unit berbanding 43,749 unit.

 

Dari segi jumlah pengeluaran pula, MAA berkata sebanyak 58,631 kenderaan dikeluarkan pada Oktober 2020 berbanding dengan 55,755 unit pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

"Pengeluaran kenderaan penumpang meningkat kepada 55,063 unit pada Oktober 2020 berbanding 52,191 unit pada Oktober 2019, manakala pengeluaran kenderaan komersial menyusut kepada 3,568 unit daripada 3,584 unit sebelumnya," katanya.

 

Mengenai unjuran untuk bulan ini, MAA menjangkakan jumlah jualan kenderaan akan lebih rendah daripada Oktober disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.

 

Perkembangan itu, katanya menjadikan pengguna lebih berhati-hati dan tidak mengunjungi pusat jualan kenderaan, sekali gus mencatatkan penurunan trafik kunjungan.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Daripada jumlah 17,500 yang dicatatkan pada Ogos lalu, 15,064 unit merupakan kenderaan penumpang…
Berita Domestik
  Selain itu, katanya, kekurangan cip komputer turut memberi impak kepada jualan beberapa jenama…
Berita Domestik
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan yang tinggi untuk bulan Mac itu disebabkan oleh…