Rekaan Hyundai STARIA didedahkan secara rasmi - MPV inspirasi kapal angkasa lepas

oleh Mohamad Hanif|
Hyundai Motor Company hari ini mendedahkan secara rasmi rupa luaran dan dalaman MPV baharu STARIA yang dijadualkan pelancarannya pada separuh pertama tahun ini.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Direka untuk keluarga dan kegunaan perniagaan, Hyundai STARIA dikatakan membawakan solusi mobiliti ke tahap seterusnya, menjadikan perjalanan yang lebih produktif dan bermanfaat.

Dari segi rupa luaran, Hyundai STARIA mengambil inspirasi daripada kapal angkasa lepas dengan rekaan yang lebih futuristik, sementara lengkung bumbung yang menghubungkan depan dan belakang pula diinspirasikan daripada lingkaran cahaya yang terbentuk di horizon bumi ketika matahari terbit jika dilihat daripada angkasa lepas.

 


Rupa hadapan STARIA diringkaskan dengan unit lampu nyalaan siang LED yang memanjang melintangi bahagian tersebut, sementara unit lampu utama pula diposisikan di bahagian bawah mengapit gril radiator yang didatangkan dengan rekaan unik.

Sementara rekaan sisi MPV ini menampilkan garis bahu yang lebih rendah, serta pemasangan cermin kaca panoramik membantu meningkatkan tahap penglihatan serta 'menghubungkan' dunia luar kepada ruang kabin berdasarkan stail senibina tradisional Korea yang dikenali sebagai hanok.

 


Bahagian belakang STARIA mengekalkan elemen ringkas dan minimalis dengan unit lampu menegak, cermin belakang yang lebar, serta bampar belakang yang direndahkan untuk memudahkan urusan memuat naik dan menurunkan barangan kargo.

Untuk model STARIA Premium pula, beberapa elemen rekaan eksklusif ditampilkan seperti rekaan mesh pattern unik pada gril radiator, jalur krom yang melindungi perumah lampu LED, serta layangan brass chrome pada emblem, roda aloi bersaiz 18 inci, cermin sisi, dan pemegang pintu.

Lampu kombinasi Hyundai STARIA Premium pula mengaplikasikan rekaan Parametric Pixel, serta kemasan seakan unit lampu yang serupa pada bahagian atas.

 


Memasuki ruang kabin, Hyundai STARIA menawarkan ruang yang lebih menyenangkan dan mewah yang diinspirasikan daripada ruang lounge kapal jelajah mewah.

Kokpit berorientasikan pemandu itu memiliki penampilan futuristik dimulakan dengan skrin sentuh bersaiz 10.25 inci, pemilihan mod pemanduan menggunakan butang fungsi, dan skrin kluster digital yang diletakkan di sebalik roda stereng.

Untuk kemudahan penumpang, terdapat ruang storan disediakan pada beberapa bahagian kabin, sementara konsol tengah pula dilengkapi dengan slot pemegang cawan, slot USB, dan storan tambahan untuk pemandu dan penumpang.

 


Sementara model STARIA Premium pula menawarkan ciri tambahan seperti mod relaks yang boleh diaktifkan dengan satu sentuhan, membolehkan penumpang baris kedua menikmati postur duduk yang lebih selesa.

STARIA Premium dengan sembilan tempat duduk pula mempunyai tempat duduk baris kedua yang boleh diputarkan 180 darjah yang membolehkan mereka berinteraksi dengan penumpang di baris ketiga dengan lebih terus.

STARIA menawarkan konfigurasi tempat duduk bermula dari dua sehingga 11 tempat duduk, manakala STARIA Premium pula menawarkan konfigurasi tujuh, sembilan dan 11 tempat duduk yang boleh dipilih bersesuaian dengan kehendak pelanggan.

 


Hyundai STARIA akan dilancarkan secara rasmi menerusi acara dalam talian pada separuh pertama tahun 2021.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Bahagian depan lebih berketak dengan jeriji dan lampu nyalaan siang baharu. Gaya jeriji condong…
Berita Domestik
Menurutnya, serbuan dibuat bersama wakil pemilik cap dagang berdasarkan aduan yang diterima. "…
Berita Global
Pelbagai teknologi dan ciri-ciri yang ditawarkan sehingga ia membuatkan suatu kenderaan itu…