Rebat tol 20 peratus untuk pengguna kerap LDP ditamatkan

oleh Penyumbang Rencana|
LD/Tol Bandar Sunway
Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) akan menamatkan program ‘LITRAK Frequent Travellers Program’ (LFTP) berkuat kuasa 1 April depan.

ALR dalam satu kenyataan memaklumkan, Program LFTP yang mula diperkenalkan pada tahun 2009 di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) itu bertujuan menyediakan ganjaran khas berbentuk rebat tol sebanyak 20 peratus untuk pengguna kerap LDP.

Melalui program itu, pengguna yang membayar tol melalui transaksi elektronik (Touch ‘n Go atau Smart Tag) dengan 100 atau lebih transaksi penggunaan di LDP dalam masa satu bulan kalendar layak untuk mendapat 20 peratus tambah nilai percuma (rebat) berdasarkan jumlah amaun penggunaan di LDP.

“Sejak 2009 hingga 2023, Litrak telah mengagihkan hampir RM9.3 juta rebat tol kepada pengguna LDP, malah menyediakan banyak faedah serta meringankan beban kewangan pengguna kerap di lebuhraya.

“Kami memahami kepentingan LFTP terhadap pengguna, namun setelah melakukan penilaian yang teliti, kami mengambil keputusan menamatkan program ini,” menurut kenyataan berkenaan pada Jumaat.

ALR memaklumkan, walaupun program ditamatkan, pengguna LFTP masih boleh membuat penebusan rebat dalam tempoh enam bulan mengikut kelayakan dan tempoh sah yang dilanjutkan sehingga 30 September nanti, tertakluk terma dan syarat program.

Tambahnya, ALR sentiasa berdedikasi memberi perkhidmatan bagi menjanjikan keselamatan dan keselesaan perjalanan kepada pengguna di kesemua kumpulan lebuhraya kami.

“ALR menghargai pengguna-pengguna di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku sehubungan dengan penamatan program ini.

“Sokongan dan dorongan yang diberikan amat bernilai untuk kami terus berusaha menambah baik perkhidmatan lebuh raya pada masa hadapan.

“Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan penamatan ini, sila hubungi Bahagian Khidmat Pelanggan kami,” jelasnya.

 

Sinar Harian