Razlan Razali: Franco tetap pelumba utama walaupun ada Rossi

oleh HEZERI SAMSURI|
Prinsipal Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali berkata sehingga kini masih tidak ada lagi sebarang perbincangan antara pasukan MotoGP negara itu dengan pelumba legenda Valentino Rossi.

Desas-desus dunia MotoGP kuat mengatakan Rossi bakal berlumba dengan SRT tetapi menurut Razlan yang ditemuramah oleh MotoGP.com kelmarin, mereka masih menunggu panggilan dari pelumba berambut keriting itu.

Menurut Razlan lagi, perbincangan antara Yamaha dan juga Petronas sudah pun dilakukan beliau.

"Kami sudah berbincang dengan Yamaha mengenai sekiranya Rossi masuk ke SRT. Persediaan motosikalnya, kos dan segalanya perlu difikirkan. SRT juga sudah berbincang dengan Petronas mengenai kemungkinan itu,' ujarnya sambil menambah segalanya hanya cadangan sehingga Rossi betul-betul mahu duduk berbincang.

Walaupun Rossi seperti menjadi tumpuan, Razlan berkata pasukan SRT akan tetap dengan strateginya.

"SRT tidak akan membuat perubahan 360-darjah hanya untuk seorang individu. SRT masih mahu menumpukan objektif-objektif asalnya, iaitu menghasilkan juara," tambah beliau.

"Franco Morbidelli akan tetap menjadi penunggang utama SRT," tegas beliau.

 

 

Razlan mengakui keadaan semasa menyukarkan semua. "Sekiranya ini ialah perlumbaan dalam musim biasa, ia lebih mudah kerana kami tidak akan mempunyai masalah untuk mencari pelumba kedua. Semua orang mahu berlumba dengan jentera Yamaha."

Namun dalam keadaan pandemik sekarang, SRT perlu lebih praktikal dalam merancang masa depannya.

"Secara ideal, Ogos ialah tarikh terakhir untuk SRT mengumumkan pelumba keduanya," terang Razlan.

Pelumba SRT untuk tahun lalu, Fabio Quartararo telah berhijrah ke pasukan nombor satu Yamaha, menggantikan tempat Rossi.

Ini adalah satu tamparan hebat untuk Rossi kerana tempat beliau digantikan oleh pelumba muda, tetapi yang pasti, sekiranya Rossi mahu "membuktikan" otai masih berbisa, SRT memang tempat yang paling sesuai kerana Yamaha sudah berjanji akan memberikan beliau jentera perlumbaan yang "sama".

Apapun, nama pasukan MotoGP negara semakin popular sekarang. 20 tahun lalu, siapa sangka anak Melayu akan menjadi prinsipal sebuah pasukan MotoGP, bukan? 

 

Add new comment

Berita Berkenaan

MotorGP
Razlan merujuk kepada fakta di mana Rossi sudah mengumumkan bahawa kemungkinan besar beliau akan…
MotorGP
  “SIC sering berkomunikasi dengan Dorna sekurang-kurangnya dua kali seminggu sejak penularan…
Berita Domestik
Insiden tersebut disyakki berlaku antara jam 1.00 pagi dan 6.00 pagi ketika hujan lebat.  Paling…