Rayvolt UK, basikal ke motosikal ni? Siap boleh 'custom'!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Rayvolt UK
Rayvolt UK
Trend retro sudah menjadi kebiasaan pada masa kini. Dari pakaian, kediaman sehinggalah kepada kereta dan motosikal. Apa yang dibuat ialah mengadunkan kedua-dua elemen moden dan retro.

Terbaru Rayvolt UK tampil dengan basikal elektrik (e-bike) dan turut menawarkan khidmat buatan khas (custom made).

Khidmat begini dah macam kereta mewah kan? 

Basikal elektrik sebenarnya sedang meningkat naik, lihat sahaja di taman perumahan ada yang menggunakannya untuk ke surau dan kedai.
AION MREC Banner Campaign May 2024
Rayvolt UK

 

Rayvolt UK pula menawarkan sesuatu yang istimewa dengan reka bentuk basikal pantai seperti di Amerika Syarikat.

Alang-alang buat basikal elektrik kenapa tidak gunakan konsep bergaya seperti ini.

Dari segi kapasiti, bateri Rayvolt boleh digunakan sehingga 80 km dan lebih jauh jika digabungkan dengan kayuhan kaki penunggang.

Kuasa bateri tersebut ialah 1000 watt yang dibekalkan dari motor 48V DC bersaiz kompak. Tempoh pengecasan penuh pula memerlukan tempoh empat hingga enam jam.

Kelajuan maksimum ialah 48 km/j dan satu angka yang laju untuk sebuah basikal.

 

Rayvolt UK

 

Selain itu, basikal elektrik ini juga canggih dengan sistem pembrekan regeneratif pintar yang boleh memanjangkan lagi jarak tunggangan.

Turut dilengkapi ialah pendikit kawalan ibu jari dan pemutusan kuasa dari motor apabila penunggang menggunakan brek.

Ini lah kelebihan basikal elektrik, nak guna kuasa bateri pun boleh, kayuh guna kaki pun boleh!

Berikut ialah senarai pilihan aksesori dan binaan khas untuk basikal Rayvolt:

  • Rangka dengan pelbagai pilihan warna dengan saduran metalik atau mutiara.
  • Pelindung roda (wheel guard) warna kontra.
  • Beg kulit (sintetik) untuk alatan, pelana, bateri dan rangka dari bahan kalis cuaca dan boleh dipesan dengan sulaman warna kontra.
  • Hub motor dan pek bateri yang lebih berkuasa dengan jarak lebih jauh.

 

Rayvolt UK

 

Satu lagi ciri menarik pada basikal elektrik Rayvolt ialah aplikasi telefon pintar percuma yang boleh digunakan untuk konfigurasi kuasa (model terpilih).

Fungsi yang boleh dikawal ialah kayuhan, pembrekan regeneratif dan kelajuan maksimum melalui aplikasi tersebut.

Kesemua kerja-kerja buatan khas ini dibuat di UK termasuk sokongan teknikal, penyelenggaraan dan tawaran aksesori lain.

Berapakah harga yang perlu dibayar untuk memiliki basikal elektrik Rayvolt UK?

Bermula dari GBP2,500 atau bersamaan RM14,253.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Rayvolt UK