Ratusan pekerja AirAsia dijangka kehilangan pekerjaan

oleh SALINA JALIL|
Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd berkemungkinan melaksanakan pusingan terbaharu langkah pemberhentian beratus-ratus pekerjanya dalam usaha untuk terus bertahan dalam industri yang terjejas teruk akibat krisis COVID-19.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pada awal Jun lalu, AirAsia telah mengurangkan lebih 250 pekerjanya akibat penularan COVID-19 berkenaan.

 

Bercakap kepada Bernama, sumber enggan dikenali yang mempunyai akses terhadap kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Riad Asmat pada dialog awam bersama pekerja hari ini berkata, tiada butiran lanjut diumumkan kecuali pekerja terbabit akan dimaklumkan paling lewat dalam tempoh 72 jam ini.

 

Pada sesi itu, Riad dipetik sebagai berkata : "Kita sedang menghadapi situasi yang amat sukar. Dalam keadaan semasa ini, sukar untuk kita bertahan mengikut keadaan sebelumnya.

 

"Ya, keadaan ini amat mencabar dan tidak mudah. Kita berusaha gigih untuk mengekalkan kelangsungan perniagaan dan (pada masa sama) cuba untuk mengekalkan khidmat semua pekerja.

 

"Apa yang pasti, kita berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan khidmat seramai mungkin pekerja mengikut (jumlah) pesawat yang digunakan. Kita amat berhati-hati (dalam membuat keputusan) hari ini namun malangnya, kita telah memutuskan untuk melepaskan segelintir daripada anda."

Menurut sumber itu lagi, pasukan pengurusan AirAsia akan memberi bantuan sewajarnya kepada pekerja terbabit seperti ganjaran perubatan, penebusan kupon penerbangan sehingga akhir tahun ini selain kaunseling.

Riad juga dipetik sebagai berkata, pekerja terbabit akan dipanggil untuk berkhidmat semula selepas syarikat penerbangan itu berjaya mengatasi kesukaran terbabit.

"Untuk mereka yang berkenaan, saya mohon maaf. Anda perlu tabah...kita akan menyokong anda dan membantu anda mengharungi (keadaan ini). Ini bukanlah sesuatu yang saya banggakan, namun sebagai CEO syarikat ini, saya bertanggung jawab penuh dan menggalas kebertanggungjawaban ini.

"Kita telah mencuba sedaya mungkin tetapi syarikat ini perlu terus bertahan...semuanya menyentuh aspek kelangsungan itu," kata Riad, sekali gus menunjukkan bahawa langkah pengurangan pekerja itu dijangkakan selesai menjelang akhir bulan ini.

 

Selain itu, kata sumber berkenaan, pekerja yang tidak terbabit dengan langkah itu juga tidak akan dikenakan potongan gaji.

 

Menurutnya, Riad juga berkata kumpulan syarikat penerbangan itu telah memaklumkan mengenai keadaan yang dialami syarikat kepada kerajaan namun belum mendapat sebarang maklum balas.

 

"Kita bertahan secara sendirian. Ini bukanlah perkara baharu. Kita adalah 'survivor' (pemandiri) dan belum menerima sebarang bantuan secara langsung," katanya.

 

Sementara itu pada sesi berasingan, CEO AirAsia X Bhd (AAX) Benyamin Ismail pula mengumumkan bahawa syarikat penerbangan jarak jauh itu turut meneliti langkah pemberhentian yang lebih meluas dan membabitkan pekerja segmen teknikal sehingga anak kapal.

 

Beliau dipetik sebagai berkata, keputusan itu berdasarkan prinsip 'pekerja terakhir masuk, diberhentikan dahulu,' sekali gus membayangkan bahawa ini dijangka membabitkan ratusan pekerja dengan hari terakhir bekerja mereka jatuh pada akhir Oktober.

 

Menurut sumber itu, segelintir pekerja akan turut ditawarkan cuti tanpa gaji yang berkemungkinan besar membabitkan tempoh selama enam bulan atau sehingga keadaan kembali pulih.

 

"Saya tidak tahu bila kita dapat meneruskan semula penerbangan. Kita beranggapan, pemberhentian pekerja ini adalah yang sewajarnya dan berharap dapat memberi sedikit kepastian kepada orang ramai," kata Benyamin.

 

Sumber itu berkata, AAX juga akan turut melakukan semakan semula gaji pokok pekerja di segenap peringkat.

 

- Salam takziah kepada mereka yang terlibat, kami di Careta mendoakan anda dan keluarga diberikan rezeki yang lebih luas dunia dan akhirat -

 

-BERNAMA

Berita Berkenaan

Informasi
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata inisiatif daripada syarikat tambang rendah itu…
Berita Domestik
Baru-baru ini tular di laman media sosial harga bagasi tambahan dilihat ada perbezaan mengikut…
Berita Domestik
Manakala, dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan atau Tawau, serta Johor Bahru ke Kota…