Rapuhnya tahap keselamatan bas pekerja dan bas sekolah

oleh Mohamad Hanif|
Komentar Hari Pekerja 2019
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

ADALAH bukan rahsia lagi bahawa bas pekerja dan bas sekolah adalah baton terakhir dalam kuartet rangkaian pemilikan bas industri pengangkutan.

Maka, kualiti bas juga menurun merosot. Sektor pengangkutan ini masih belum mendapat perhatian sepenuhnya dari pihak berkuasa terutamanya terhadap piawaian keselamatan kerana kekurangan tenaga dan kekangan belanjawan yang dihadapi oleh pihak berkuasa sejak dahulu.

Lumrahnya, selama ini tumpuan banyak berkhusus terhadap syarikat bas ekspres kerana sejarah membuktikan jumlah kematian dan kecederaan yang tinggi telah dicatatkan berulang kali bagi satu nahas tertentu bas ekspres.

Panel Semakan Cadangan (RRP) yang telah ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan pada Julai tahun lalu hanya memberi tumpuan kepada industri bas ekspres dan pelancongan dengan mengemukakan pelbagai penambahbaikan dan cadangan bernas. Gred Bintang Keselamatan, pemasangan CCTV, ‘brake retarder’, alat kawalan kelajuan dan penggunaan wajib tali pinggang keledar untuk penumpang menjelang 2020 dalam bas ekspres dan pelancongan adalah antara cadangan Panel.

Namun, bas kilang berterusan tidak diberikan fokus. Kini adalah dianggarkan ada sekitar 13,000 bas kilang sedang beroperasi di Semenanjung manakala terdapat anggaran 14,000 bas sekolah di seluruh negara dengan hampir 70 peratus terdiri daripada van sekolah.

Anggaran 14 ribu dan 13 ribu untuk segmen pengangkutan ini adalah jauh lebih tinggi daripada anggaran 3,500 bas ekspres di Semenanjung. Melihat angka-angka ini, kategori bas kilang sangat berhak mendapat tumpuan khas kerana keupayaannya dan kekerapan beroperasi dari luar dan dalam daerah masing-masing.

sumber: headtopics


Berita tragedi nahas dan kematian membabitkan bas kilang sudah menjadi bukan sesuatu yang baru walaupun ia tidak sekerap berita sedih yang melibatkan bas ekspres.

Jadi, apabila berita 11 kematian nahas bas kilang sekitar 11 malam berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada dua minggu yang lalu, daku meledak. Kehilangan 11 nyawa adalah bukan sesuatu yang harus dipandang ringan.

Akhbar tempatan melaporkan bahawa tiada seretan tayar atau kesan brek di tempat kejadian. Penumpang terselamat mendakwa bahawa pemandu yang turut terkorban itu telah memandu laju sebelum perlanggaran.

Dua tahun lalu, lapan pekerja kilang gugur di jalan raya dan 42 orang telah cedera di dalam perlanggaran tiga kenderaan berhampiran Plaza Tol Juru (arah utara) di Lebuhraya Utara-Selatan. Mereka yang terselamat juga menyatakan bahawa pemandu bas telah memandu laju sebelum kejadian.

sumber: Ismaweb

Bas Berusia Jadi Rebutan

Sehingga kini, pihak berkuasa tidak pasti mengenai jumlah bas kilang berumur termasuk yang dimamah usia melebihi 20 tahun, apatah lagi 25 tahun. Adalah perlu disebutkan di sini bahawa tiada langkah jelas dapat dilihat untuk menyekat bas-bas lama dari beroperasi kerana kebanyakan bas berusia ini masih berkemampuan untuk lulus ujian pemeriksaan Puspakom.

Adalah bukan sesuatu rahsia lagi iaitu selepas berkhidmat di laluan antara negeri dan bandar seluruh negara, masih ada lagi pihak yang bersedia menunggu giliran untuk membeli bas ekspres yang berusia walaupun telah melalui liku-liku perjalanan jutaan kilometer.

Bergantung kepada kemampuan dan lingkungan perbelanjaan operasi, umur kenderaan yang dianggap masih lagi baik oleh usahawan berpengalaman dan juga mereka yang baru mahu berkecimpung di dalam industri pengangkutan, pilihan usia bas ekspres yang terpakai adalah antara enam hingga 10 tahun.

Jika ada yang bernasib baik, pengendali bas kilang masih boleh merangkul bas ekspres berusia 11 tahun yang masih dalam keadaan baik. Malah bukan rahsia lagi selepas beberapa tahun berkhidmat sebagai bas pekerja, kenderaan berat ini diturunkan pula kepada pengendali bas sekolah.

Bayangkan jika anak-anak atau pasangan anda menaiki bas yang telah bergerak sekitar atau lebih daripada 2 juta kilometer perjalanan atau berusia lebih daripada 15 tahun dan ia dianggap sebagai 'masih baru' untuk digunakan sebagai bas pekerja atau bas sekolah?

Kebanyakan bas pekerja ini telah berjalan begitu sangat jauh. Oleh kerana tahap penguatkuasaan yang begitu lemah terhadap jenis pengangkutan ini, adalah menjadi perkara biasa jika terdengar bas pekerja mengangkut pekerja dari Kluang dan Simpang Renggam ke Tambak Johor atau dari Sungai Dua dan Sungai Petani ke Bayan Lepas untuk perjalanan setiap hari.

Ia juga bukan rahsia lagi bahawa pemandu bas pekerja berada di stereng melebihi 10 jam sehari kerana mengejar ‘trip’ sebagai memenuhi keperluan kontrak dengan syarikat atau kilang. Oleh itu, pelanggan atau majikan di sini harus menggalas tanggungjawab bersama, secara langsung atau tidak langsung, kerana membenarkan pengendali bas pekerja terus menggunakan bas berkualiti rendah dan kurang ciri-ciri keselamatan terutamanya di sektor minyak dan gas, pembuatan, elektronik, logistik dan sektor perkilangan.
 

sumber: frontdesk

Bangunlah Wahai Pihak Berkuasa

Antara perkara yang perlu diberi perhatian segera oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah mengkaji tahap kemampuan bas kilang dan bas sekolah sedia ada sambil menunjukkan ketegasan meletakkan usia wajib bas (peringkat pertama) untuk beroperasi antara 15 tahun hingga maksima tidak lebih 20 tahun.

Di masa lalu, pengendali bas pekerja dan bas sekolah gemar memberi alasan ditindas setiap kali pihak berkuasa mengetatkan syarat untuk beroperasi dengan mendakwa mereka tidak berkemampuan untuk menampung atau membeli 'kenderaan yang lebih muda'. Walau bagaimanapun, jika kita analisa kebanyakan kontrak yang dimeterai antara syarikat pengangkutan dan pelanggan mereka, perjanjian itu agak lumayan berdasarkan nilai pasaran berbanding dengan kos operasi untuk bas yang telah dimamah usia di bawah kendalian mereka.

Sekitar 2017, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah melebarkan sayap iCOP SHE iaitu satu kod keselamatan untuk kebanyakan syarikat industri pengangkutan dengan tumpuan khas kepada pengusaha bas ekspres dan pelancongan yang merangkumi garis panduan, audit dan latihan amalan keselamatan. Pada masa ini, tanggungjawab tersebut telah dipindahkan kepada JPJ.

Adakah JPJ dapat meneruskan pendekatan SPAD? Namun, di kalangan pemain pengangkutan, ramai tidak yakin dengan keupayaan serta kemahuan JPJ sejak kebelakangan ini terutama sekali kesediaan JPJ untuk menyusun strategi samada mahu serius memberi tumpuan kepada semua segmen pengangkutan jalan berikutan pembubaran SPAD.

Walaupun jelas kakitangan di bawah APAD berkurangan, APAD dan JPJ tiada pilihan selain dari perlu menjalankan kajian mendalam tentang keperluan kesesuaian usia kenderaan serta meningkatkan lagi ciri keselamatan armada bas pekerja dan bas sekolah. Masalahnya, kita pun tidak pasti sekarang wujud atau tidak tali pinggang keledar di kerusi penumpang di dalam bas pekerja, sebagai contoh.

JPJ perlu serius untuk membuat penguatkuasaan ke atas pemandu bas kilang bagi pemeriksaan permit sah dan lesen PSV kerana saya sendiri pernah menyaksikan bas-bas pekerja ini berlumba di antara mereka.

Standard keselamatan untuk industri bas ekspres dan pelancongan harus diterapkan juga untuk industri bas kilang. Pemasangan alat had kelajuan dan ‘brake retarder’ harus menjadi standard untuk bas kilang. Seharusnya tiada tolak ansur demi keselamatan jalan raya kerana rekod sudah menunjukkan ramai sudah terkorban menaiki bas kilang.

Sekarang adalah masa yang tepat untuk pihak berkuasa mengheret operator pengangkutan ke mahkamah. Menurut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan di peraturan permit termasuk juga kod iCOP SHE, syarikat pengangkutan boleh dikenakan tindakan di mahkamah kerana kecuaian atau kegagalan mematuhi garis panduan keselamatan.

sumber: SPAD


Untuk rekod, sehingga rencana ini ditulis, tiada pengendali (rel dan pengangkutan jalan raya) telah diheret ke mahkamah oleh SPAD dahulu, APAD atau JPJ selepas setiap bencana jalanraya yang dahsyat, apatah lagi nahas jalan raya lain.

Daku ulangi, sehingga ke hari ini bilangan operator pengangkutan yang telah dihadapkan ke mahkamah kerana kecuaian atau sengaja lalai di dalam aspek keselamatan dan operasi harian mereka - jumlahnya SIFAR.

Maka dengan ini, di Hari Pekerja tahun 2019 ini, saya tertanya-tanya jika APAD atau JPJ mampu mencipta sejarah kelak dengan membawa mana-mana pengendali ke mahkamah di atas kecuaian secara langsung atau tidak langsung terhadap nahas jalan raya di bawah operasi syarikat.

KOMENTAR oleh Shahrim Tamrin

(Penulis begitu meledak mahu menyelamatkan nyawa di jalan raya. Shahrim telah menulis mengenai pengangkutan awam, automotif dan isu keselamatan jalan raya sejak 10 tahun yang lalu dan juga merupakan Penerima Anugerah Liputan Keselamatan Jalan Raya dari Asean NCAP pada 2016)

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, penerbitan EAD oleh EASA adalah ekoran kemalangan maut membabitkan pesawat…
Berita Domestik
Penduduk Kampung Poropot, Charls Dodee, 26, berkata, kerosakan jalan itu berlarutan sejak tiga…
Informasi
Dalam tempoh lebih 96 tahun berinovasi, Volvo Cars telah mencipta beberapa ciri yang sangat penting…