Dalam kejadian pukul 10 pagi semalam, seorang lelaki dilaporkan melakukan tindakan yang tidak bermoral terhadap seorang penumpang wanita di dalam tren bernombor 49 Laluan Kelana Jaya, antara stesen KLCC dan Stesen Ampang Park.
Mangsa kemudian membuat aduan kepada pegawai stesen LRT dan dibawa oleh anggota Polis Bantuan Prasarana untuk membuat laporan polis di Balai Polis Gombak.
Satu Pasukan Tindakan Khas (SAT) di bawah Polis Bantuan Prasarana telah digerakkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia bagi menjejaki dan mengenal pasti suspek.
Pihak Rapid Rail turut menyeru pengguna agar terus melaporkan kepada pihak polis bantuan, atau kakitangan operasi stesen sekiranya berdepan dengan situasi jenayah seperti ini.