Enam laluan berkenaan adalah Saujana Utama/Elmina-Jalan Kuala Selangor dengan tiga van disediakan; Putra Heights-LRT Putra Heights (tiga van); serta Taman Medan-Jalan Klang Lama (empat van) yang menggunakan aplikasi MOBI untuk tempahan.
Dua laluan iaitu Pantai Sentral-LRT Universiti dengan dua van disediakan serta Bandar Tun Razak-Taman Midah (empat van) menggunakan aplikasi Trek Rides untuk tempahan.
Sementara itu, laluan Danau Kota-Jalan Genting Klang dengan empat van disediakan pula menggunakan aplikasi Kummute untuk tempahan.
Laluan Putra Heights-LRT Putra Heights dan Pantai Sentral-LRT Universiti adalah laluan yang terhubung langsung dengan perkhidmatan rel Rapid KL.
Laluan Danau Kota-Jalan Genting Klang dan Taman Medan-Jalan Klang Lama akan menggunakan lorong bas di Jalan Genting Klang dan Jalan Klang Lama.
Ini bagi membolehkan pengguna meneruskan perjalanan dengan perkhidmatan bas Rapid KL di laluan terbabit, termasuk warga sekitar Saujana Utama dan Elmina yang kini boleh menikmati perkhidmatan Rapid KL On-Demand dengan laluan Saujana Utama/Elmina-Jalan Kuala Selangor.
Selain itu, perkhidmatan ini juga akan meluaskan rangkaian perkhidmatan di kawasan Bandar Tun Razak dengan laluan yang menghubungkan pengguna ke kawasan Taman Midah.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Ku Jamil Zakaria, berkata pengenalan enam laluan baharu itu adalah kesinambungan kejayaan pengenalan empat laluan baharu yang diperkenalkan pada 1 Februari lalu.
"Ia merangkumi laluan di sekitar Taman Desa, Taman Genting Setapak, Putrajaya Sentral dan Bangsar.
"Selepas hampir setengah bulan beroperasi, perkhidmatan ini berjaya mencatatkan jumlah penumpang lebih 1,700 pengguna setakat hari ini," katanya.
Menurutnya, secara keseluruhan, perkhidmatan itu sudah beroperasi di 13 laluan di Lembah Klang, yang menawarkan jaringan perkhidmatan baharu kepada pengguna bagi melengkapkan perjalanan batuan pertama dan batuan terakhir.
"Rapid Bus akan menambah laluan baharu secara berperingkat sejajar dengan penerimaan van-van baharu.
"Inisiatif ini adalah usaha berterusan Rapid Bus dalam menyediakan servis baharu bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam," katanya.
Perkhidmatan Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dengan menggunakan aplikasi MOBI, Trek Rides atau Kummute dari jam 6 pagi sehingga 11.30 malam.
Dengan tambang promosi RM1 untuk setiap perjalanan, pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan kad Touch 'n Go, kad Konsesi MyRapid, Pas Perjalanan OKU Smile dan Pas Perjalanan Tanpa Had iaitu My50, MyCity serta Pas Famili.
Tambang promosi RM1 dilanjutkan bagi memberi peluang kepada orang ramai, khususnya yang belum pernah mencuba dan merasai servis baharu itu.
Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, pengguna boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web https://www.myrapid.com.my.