Rapid KL melalui kenyataan memaklumkan, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati dawai halus yang telah cair itu bukanlah sebahagian daripada komponen tren mahupun landasan.
"Dawai berkenaan dipercayai tersangkut pada sistem bekalan kuasa, menyebabkan letupan kecil berkenaan," katanya.
Susulan insiden itu, Rapid KL berkata tren yang terbabit sudah dikeluarkan serta-merta daripada perkhidmatan sebagai langkah keselamatan.
"Semua penumpang diturunkan dengan selamat di stesen berikutnya sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren lain.
"Kami turut mengesahkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan operasi perkhidmatan di Laluan Kelana Jaya tidak terjejas serta beroperasi seperti biasa," katanya.
Menurutnya, pemeriksaan awal oleh pasukan teknikal ke atas tren dan infrastruktur landasan di antara Stesen Universiti dan Stesen Taman Jaya juga mendapati tiada sebarang kerosakan, manakala keadaan landasan disahkan selamat untuk operasi.
"Pemeriksaan terperinci turut diteruskan selepas tamat waktu operasi bagi pengesahan lanjut," katanya.
Pengguna dinasihatkan supaya merujuk laman media sosial rasmi Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE bagi mendapatkan sebarang status terkini mengenai perkhidmatan Laluan Kelana Jaya.