"Projek ini dijangka dapat membantu mengurangkan masa perjalanan serta kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit dan memberi penjimatan masa perjalanan sehingga 10 minit dari Kinrara ke arah pusat bandar raya," menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata semenjak pelaksanaan lorong bas di koridor Jalan Ampang dan Jalan Genting Kelang pada 2023, pihak Rapid Bus telah mencatatkan peningkatan penumpang masing-masing sebanyak 27 peratus dan 42 peratus.
"Kami berharap manfaat kelancaran perkhidmatan dan penjimatan masa akan dapat terus menarik minat orang ramai untuk beralih menggunakan pengangkutan bas," katanya.
Beroperasi pada waktu puncak dari pukul 6 pagi hingga 9 pagi pada Isnin hingga Jumaat kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum, Rapid Bus memaklumkan projek percubaan lorong bas itu akan memberi manfaat kepada komuniti penduduk di sekitar kawasan Puchong, Sri Manja, Taman Kinrara, Taman Desa, Taman OUG dan Jalan Kuchai Lama dengan melibatkan 42 bas dari enam laluan.
Ini termasuk laluan bas 600: Hab Puchong Utama - Hab Pasar Seni, 640: Hab Seri Manja - Hab Pasar Seni, 650: Taman Desa - Hab Pasar Seni, 641: Pearl Point - LRT Subang Jaya, 651: Pearl Point - LRT Muhibbah dan 652: Batu 3 Jalan Klang Lama, BHP - LRT Awan Besar.
Pengguna boleh memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store bagi merancang perjalanan, aplikasi Google Maps untuk mengetahui lokasi bas serta layari laman sesawang rasmi Rapid KL di https://myrapid.com.my untuk maklumat terkini.