Rancangan pengeluar automotif dalam menjadikan pasaran Eropah lebih hijau

oleh Mohamad Hanif|
Sedar atau tidak, arus perdana dalam bidang automotif sedunia kini sedang bergerak perlahan-lahan daripada nadi kuasa fosil menuju ke arah memperkenalkan kereta elektrik dan kereta plug-in hybrid (PHEV).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Apatah lagi kesatuan Eropah kini semakin berusaha untuk menjaga persekitaran yang lebih sihat dan hijau dengan pelaksanaan undang-undang pelepasan emisi CO2 yang semakin ketat. 

Berikut merupakan perancangan beberapa pengeluar terkemuka sedunia dalam memperkenalkan model kereta elektrik dan PHEV. 

 

BMW Group


BMW merancang untuk menghasilkan 500,000 unit EV/PHEV setahun menjelang akhir 2019, dinaikkan daripada 200,000 unit pada tahun lalu. 

Bermula tahun hadapan, BMW bakal memperkenalkan SUV elektrik iX3 di China, memperkenalkan SUV iNEXT pada tahun 2021 dan diikuti fasa produksi sedan fastback EV i4 di Munich pada tahun yang sama. 

Dibawah label iPerformance, BMW akan meneruskan penjualan kereta PHEV merangkumi 25 buah model baharu dan setengah daripadanya bakal dikuasakan elektrik sepenuhnya. 

Manakala jenama Mini pula bakal melancarkan EV Mini E mereka pada 2019 menggunakan sistem pacuan kuasa yang diubahsuai daripada BMW i3. 

 

Daimler


EQC merupakan crossover elektrik pertama bakal dilancarkan pada tahun hadapan. 

Daimler mensasarkan hampir kesemua model Mercedes-Benz mempunyai sekurang-kurangnya satu model EV/PHEV dengan pilihan sistem mild hibrid 48 voltan, PHEV berkuasa tinggi atau kuasa elektrik sepenuhnya, 15-25% daripada jumlah keseluruhan jualan menjelang 2025.

 

Fiat Chrysler
 


FCA merancang pelaburan berjumlah $10.5 billion menjelang tahun 2022 bagi memenuhi sasaran pelepasan emisi CO2 yang semakin ketat di samping berhasrat untuk menghentikan penawaran enjin diesel pada 2021.

Pelan ini menyaksikan hampir 30 model baharu EV dirancang untuk pelancaran seluruh dunia, termasuklah hibrid dan mild-hibrid. 

Dibawah jenama Fiat, mereka sedang membangunkan Fiat 500 EV dengan sasaran pelancaran pada tahun 2020. 
 


Maserati pula dikatakan merancang untuk menjadikan satu pertiga daripada kenderaan mereka dikuasakan oleh tenaga elektrik, termasuklah 8 PHEV dan 4 EV menjelang 2022, dimulakan dengan model Alfieri coupe EV. 

Alfa Romeo tidak merancang untuk menghasilkan EV, akan tetapi hadir dengan enam kenderaan PHEV menerusi barisan jualan kenderaan mereka. 

Jenama SUV Jeep pula akan hadir dengan empat buah model EV dan 10 PHEV untuk pasaran global pada 2022, dengan lapan buah model PHEV dan lima model mild hibrid dihasilkan untuk pasaran Eropah, termasuklah sebuah Jeep segmen-A. 

 

Ford


Ford sebenarnya sudah mempunyai model Focus Electric, namun jualannya tidak begitu memberangsangkan - sekitar 143 unit sahaja tahun lalu. 

Namun, Ford dikhabarkan bakal hadir dengan SUV elektrik sepenuhnya dengan jarak operasi 480 km tahun 2020, di samping 16 buah EV lagi menjelang 2022.

Secara keseluruhan, hampir 40 kenderaan elektrik dirancang pelancarannya menjelang tahun 2022 termasuklah model-model EV, PHEV dan mild-hibrid. 

 

Honda


Pengeluar dari negara Matahari Terbit ini menyasarkan dua pertiga daripada kenderaan di Eropah bakal mempunyai sistem pacuan kuasa elektrik menjelang 2025. 

Kereta konsep Urban EV yang dipertontonkan pada Frankurt AUto Show 2017 dikatakan bakal menjadi kereta EV pertama Honda memasuki pasaran pada tahun 2020, dengan sasaran 5,000 unit setahun di Eropah.

 

Hyundai


Hyundai mencatatkan sejarah 'bilangan permintaan mengatasi kadar produksi' sepanjang penglibatan mereka menerusi Kona Electric dengan rekod tempahan sebanyak 7,000 unit di Norway sahaja (tidak termasuk pasaran lain). 

Dalam usaha Hyundai untuk menapakkan kaki dengan lebih mendalam untuk segmen kenderaan hijau di Eropah, mereka optimis dengan pengenalan SUV sel bahan api Nexo walapun ia sebenarnya mempunyai jumlah penghasilan yang begitu rendah (low-volume vehicle). 

 

Jaguar Land Rover


Jaguar sudah pun memulakan langkah mereka dengan pengenalan SUV Elektrik Jaguar i-Pace pada tahun ini, dan bakal memperkenalkan sedan elektrik XJ pada tahun 2020.

Land Rover pula secara senyap memperkenalkan varian PHEV pada model Range Rover dan Range Rover Sports, manakala model Discovery Sport dan Evoque bakal hadir dengan versi PHEV bermula tahun hadapan. 

 

Kia


Kia merupakan antara pengeluar terawal yang menawarkan variasi kenderaan EV, PHEV dan juga elektrik sepenuhnya kepada model jualan mereka seperti minivan Soul, sedan dan station wagon Optima (PHEV), dan juga crossover Niro (PHEV dan EV). 

Menjelang tahun 2025, Kia bakal mempunyai 16 buah model baharu termasuklah lima buah model hibrid, 5 PHEV, 5 EV dan sebuah kenderaan sel bahan api (fuel cell). 

 

Mazda


Setakat ini,  Mazda masih tidak mempunyai sebarang penawaran model hibrid pada barisan kenderaan mereka, namun mereka bakal hadir dengan EV di Eropah menjelang akhir tahun 2019 atau awal tahun 2020.

Mazda juga dikatakan bakal mempunyai sistem penambah jarak (range-extender) hasil pembangunan terhadap enjin Wankel yang sangat ikonik dengan pengeluar yang terkenal dengan imej Zoom-zoom itu. 

 

Nissan


Nissan Leaf antara model elektrik yang paling laris di dunia mengatasi pencapaian jualan yang dicatatkan oleh Renault Zoe menurut data daripada JATO Dynamics. 

Nissan tidak berhasrat untuk menghasilkan model PHEV oleh kerana EV adalah jauh lebih berkesan dalam usaha untuk mengurangkan pelepasan CO2 ke udara. 

Mereka kini di dalam perancangan untuk memperkenalkan SUV elektrik dengan jarak operasi 500 km kepada pasaran global menjelang tahun hadapan. 

 

PSA Group


Menjelang tahun 2021, PSA Group bakal mempunyai lima belas unit kenderaan elektrik, termasuklah lapan unit PHEV dan tujuh buah EV sepenuhnya dengan sasaran untuk menjadikan kesemua barisan model dikuasakan elektrik pada tahun 2025.

Perancangan tersebut akan dimulakan oleh DS 7 Crossback dengan sistem pacuan plug-in hybrid bermula September 2019 dan diikuti oleh Peugeot 3008, Peugeot 508, Opel Grandland X dan Citroen C5 Aircross berdasarkan platform e-EMP2. 

 

Renault Group


Renault Zoe telah lama menjadi hatchback elektrik popular di Eropah sebelum jualannya dipintas oleh rakan sepakatan Nissan pada tahun ini. 

Tidak melupakan rakan di dalam pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, Renault melabur berjumlah hampir $1.16 billion untuk membangunkan Zoe generasi baharu dan juga platform EV untuk kegunaan rakan-rakannya. 

Apa yang pasti, Renault bakal menjadikan separuh daripada model keluarannya dikuasakan oleh tenaga elektrik menjelang tahun 2022, terdiri daripada 20% EV dan 30% kereta hibrid. 

 

Toyota


Syarikat pengeluar terbesar di dunia itu sebelum ini telah mengumumkan bakal mempunyai 10 buah model baharu (EV dan PHEV) untuk pasaran global menjelang tahun 2020, dengan sasaran untuk menjual hampir 1 juta unit EV dan 5.5 juta unit kenderaan (EV, hibrid dan PHEV) secara keseluruhannya. 

 

Volkswagen Group


Di bawah perancangan Roadmap E, VW mensasarkan pelancaran hampir 25 buah kereta elektrik sepenuhnya dan 20 buah PHEV menjelang tahun 2020, yang turut merangkumi kereta di bawah keluarga I.D.

Audi akan melancarkan SUV e-tron pada penghujung tahun dan diikuti sasaran untuk menjadikan hampir satu pertiga daripada jualannya terdiri daripada EV dan PHEV menjelang tahun 2025.

Porsche pula membayangkan hampir separuh daripada kenderaannya dikuasakan oleh tenaga elektrik pada masa akan datang, dan bakal hadir dengan Taycan EV yang dinanti-nantikan pada awal tahun hadapan. 


Menggunakan platform sedia ada MEB, Seat bakal melancarkan kereta EV pada tahun 2020 dengan jarak operasi hampir 500 km dan bakal dibina bersaing dengan kereta VW I.D. di Jerman. 

Manakala subjenama Seat, Cupra turut hadir dengan versi tersendiri PHEV dan EV bermula dari Leon versi lima pintu hatchback, station wagon dan juga crossover kompak. 

Skoda pula dalam satu berita yang lain bakal hadir dengan Citigo yang dibangunkan berdasarkan model sedia ada VW Up bermula tahun hadapan, dengan sasaran untuk menjual 10 model kenderaan elektrik (PHEV, EV) menjelang tahun 2025.

 

Volvo


Syarikat Scandinavia ini merancang untuk menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya 50 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaannya menjelang 2025, bermula dari SUV XC40, Polestar 2 (2019) dan juga SUV Polestar 3 (2020).

Sehingga kini, Volvo sudah menjual 15% kenderaan PHEV di Eropah dan mahu meningkatkan kadar tersebut kepada sekurang-kurangnya 25% menjelang 2025.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ia hanya untuk pemilik individu dan bukan untuk kegunaan perdagangan seperti teksi, p-hailing dan…
Berita Domestik
Beliau berkata terdapat sasaran 10,000 kemudahan pengecasan EV di seluruh negara menjelang tahun…
Berita Global
Kuantiti kenderaan elektrik (EV) buatan China semakin meningkat apabila pembuat kereta dan pengedar…