Dalam insiden banjir di Hatyai itu, sebahagian besar kenderaan rakyat Malaysia mengalami kerosakan teruk termasuk dimasuki air sehingga menenggelamkan komponen elektronik, sekali gus menyebabkan kos baik pulih mencecah ribuan ringgit.

Menurut Pengusaha Travelthai.my, Ammar Wafiy Johari, insurans yang dibeli di Thailand seperti compulsory insurance (CI), voluntary insurance (VI) dan travel insurance (TI) tidak melindungi kerosakan kenderaan akibat bencana. Ini menyebabkan pemilik hanya bergantung kepada polisi yang dibawa dari Malaysia.
Katanya, hanya perlindungan tambahan Extension 101 (E101) yang ditambah pada polisi sedia ada di Malaysia memberi perlindungan bencana seperti banjir ketika berada di luar negara.
Beliau menjelaskan hanya kira-kira lima peratus pelanggan memilih untuk mengambil perlindungan E101 sebelum memandu ke Thailand.
Situasi banjir besar kali ini menjadi pengajaran penting kepada pemilik kenderaan supaya menyemak dan melanjutkan perlindungan insurans, termasuk perlindungan bencana, sebelum memulakan perjalanan ke Thailand.
Ammar berkata, kebanyakan kereta yang ditunda keluar dari kawasan bencana sejak semalam menunjukkan kerosakan serius akibat ditenggelami air. Difahamkan, kos menunda kenderaan dari Hatyai ke Malaysia dianggarkan sekitar RM750 dan caj tambahan RM150 akan dikenakan jika trak tunda terpaksa menggunakan tayar sokongan kecil, terutamanya bagi kenderaan yang sarat dengan sistem elektronik.
Sekiranya kejadian sama berulang, pengguna diingatkan agar memastikan polisi insurans mereka dilengkapi perlindungan tambahan bencana bagi mengelakkan kerugian besar ketika berada di luar negara.
Sumber: BH