Ram 1500 TRX 2021 dilancarkan - amaran terhadap Ford F-150 Raptor!

oleh Mohamad Hanif|
Selepas kira-kira empat tahun Ram memperlihatkan model konsep Rebel TRX, kini pengeluar tersebut hadir dengan sebuah model yang mampu mencabar penguasaan Ford F-150 Raptor di dalam segmen trak pikap berkuasa tinggi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Digelar sebagai trak pikap paling berkuasa dan paling pantas, Ram 1500 TRX dilengkapi dengan nadi bentangan V8 6.2 liter dengan bantuan pengecas lampau yang menghasilkan 702 kuasa kuda dan 880 Nm daya kilas.

Enjin V8 tersebut dipadankan dengan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan, serta sistem pacuan empat roda yang memfokuskan terhadap pemanduan off-road.

 


Dari segi pecutan, Ram 1500 TRX mampu mencapai masa sekitar 4.5 saat dari 0-96 km/j, serta pecutan suku batu sepantas 12.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 190 km/j.

Untuk melawan Raptor F-150, Ram 1500 TRX turut hadir dengan tayar 35 inci all-terrain Goodyear Territory, direka khusus untuk model ini yang membaluti set rim bersaiz 18 inci.

Dari segi dimensi, Ram 1500 TRX mendapat penambahan sebanyak 203 mm lebar, terima kasih kepada penggunaan fender flare yang lebih lebar bagi memuatkan tayar all-terrain itu tadi.

 


Untuk memastikan tahap operasi kekal optimum, Ram 1500 TRX didatangkan dengan sistem induksi udara dua laluan yang menyalurkan bekalan udara serta memiliki sistem pengasingan kekotoran, pasir, habuk dan air.

Selain daripada itu, dengan jarak kelegaan tanah sekitar 300 mm, Ram 1500 TRX juga mampu meredah air sedalam 813 mm, serta sudut approach, departure dan breakover masing-masing 30.2, 23.5 dan 21.9 darjah.

Sistem suspensi pula adalah jenis bebas di bahagian depan, manakala di bahagian belakang pula adalah jenis five-link coil system, kedua-duanya penyerap hentak jenis adaptif Bilstein Black Hawk e2 63 mm.

Dari segi keupayaan, Ram 1500 TRX mampu mengangkut beban seberat 594 kilogram dan keupayaan menunda beban sehingga 3,674 kilogram.

 


Rupa luaran Ram 1500 TRX ini dimulakan dengan gril yang menampilkan abjad RAM, lampu LED depan dan belakang, skup udara dengan kehadiran lampu, bumper keluli, serta sistem ekzos berkembar berdiameter 127 mm.

Sementara rupa luaran yang ganas dan agresif, ruang kabin pula lebih bersifat mewah dan selesa, menampilkan penawaran warna merah ruby dan hitam, serta opsyen TR1 atau TR2 yang terdiri daripada tempat duduk balutan kulit Natura Plus, elemen suede berliang serta memiliki ciri pemanas dan ventilasi udara.

Salah satu perubahan terbesar adalah konsol tengah serba baharu yang menampilkan tombol gear menggantikan rotary knob yang terdapat pada papan pemuka, serta menampilkan ruang meletak cawan, dan slot pengecasan nirwayar.

 


Ruang rotary knob yang terdapat pada model terdahulu telah digantikan dengan seleksi butang fungsi Drive Mode, memberikan pemandu akses kepada mod pemanduan Normal, Wet/Snow, Off-road dan Baja, serta butang Launch Control.

Antara ciri lain yang dilengkapkan termasuklah sistem paparan head-up, skrin infotainmen menegak 12 inci, serta plet spesifikasi kustom yang terdapat pada konsol tengah.

Selain daripada itu, Ram juga turut membangunkan sebuah sistem pengesan loncatan 'Jump Detection' di mana ia akan mengira kelajuan putaran roda, penderia ketinggian, serta accelerometer untuk mengesan trak pikap ini sedang 'terbang' di udara.

 

 


Dalam masa beberapa milisaat, sistem ini akan mengubah kelajuan dan daya kilas enjin, seleksi gear, agihan daya kilas transfer case, kadar redaman serta komponen lain bagi memastikan prestasi yang optimum ketika trak pikap ini mendarat, selain mengelakkan sebarang kerosakan terhadap trenkuasa.

Ram 1500 TRX 2021 akan memulakan produksi menjelang akhir tahun ini dengan harga jualan bermula dari $69,995 (RM293,174).
 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut Chevrolet, Silverado ZR2 menawarkan pakej off-road terbukti yang boleh dibeli terus oleh…
Berita Global
Apa yang pasti, mereka yang mahukan kereta eksotik seperti itu boleh menukarkan konfigurasi…