Rakyat Turki lebih gemar beli kereta terpakai

oleh Mohamad Hanif|
Kejatuhan nilai mata wang Turki Lira yang berlaku semenjak lebih daripada setahun yang lalu nampaknya memberikan kesan yang sangat ketara terutama di dalam industri automotif negara tersebut.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Satu laporan daripada Bloomberg menyebut ribuan rakyat Turki kini memilih untuk membeli kenderaan terpakai sehinggakan pada satu ketika, nilai pasaran kereta terpakai melonjak naik secara tiba-tiba. 

Tambah meruncingkan apabila pengedar kenderaan baharu tidak lagi membuat tempahan bagi memenuhi stok inventori yang telah pun habis, menjadikan Turki tidak lagi mempunyai kenderaan baharu untuk dijual. 

Menurut Sami Nacagoglu, pengendali laman web menjual kereta terpakai berkata, bulan Disember lalu sahaja hampir 95 peratus penjualan kenderaan adalah terdiri daripada kereta terpakai di Turki. 

"Saya sudah pun mengendalikan perniagaan ini selama 11 tahun, dan tidak pernah mengalami keadaan sebegini," ujarnya.

 


Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan baru-baru ini mendakwa tahap ekonomi negara tersebut kini bertambah baik dengan bukti pembelian kenderaan baharu selepas kemelesetan.

Namun, hakikatnya, pasaran kereta terpakai semakin stabil dengan jumlah pembelian kira-kira 6.23 juta pada tahun lalu, lebih tinggi berbanding tahun sebelum kejatuhan matawang Lira (2017). 

Sebagai perbandingan, jumlah jualan kenderaan baharu menyusut kepada hampir separuh dalam tempoh yang sama kepada 387,000 unit.

Apa yang terus menghalang orang Turki daripada terus membeli kenderaan baharu adalah jumlah pelaburan yang sangat tinggi untuk proses pemilikan dan diikuti dengan kejatuhan nilai yang sangat cepat untuk sesebuah kereta baharu. 

Pasaran di sana terus menjadi kacau-bilau apabila harga jualan kenderaan terpakai kini setanding dengan harga jualan kenderaan baharu. 

"Walaupun dengan harga jualan yang tinggi, saya tidak fikir pembeli kenderaan terpakai membeli dengan sia-sia, ia adalah satu bentuk pelaburan," ujar Nacaroglu lagi.

Sumber: Automotive News Europe