Rakam polis laksana tugas penguatkuasaan, pemandu lori direman empat hari

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Seorang pemandu lori ditahan selepas melakukan provokasi terhadap anggota polis yang menahannya di Jalan Ampang, petang Jumaat.

Dalam kejadian jam 3 petang, suspek berusia 28 tahun dilaporkan meninggikan suara terhadap anggota polis bertugas yang menahannya atas kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata ketika ditahan suspek turut merakam video dengan menggunakan telefon bimbitnya.

"Polis telah mengeluarkan amaran sebanyak tiga kali supaya tidak melakukan perbuatan berkenaan tetapi suspek enggan mematuhi arahan berkenaan dan terus merakam.

"Susulan itu polis bertugas terus membuat tangkapan terhadap suspek," katanya ketika dihubungi Berita Harian pada Sabtu.

Mohd Azam berkata polis merampas satu telefon bimbit dan semakan dapati suspek tiada rekod jenayah.

"Polis juga turut melakukan ujian air kencing dan mendapati keputusannya negatif.

"Satu saman dikeluarkan ke atas suspek kerana memandu menggunakan telefon bimbit dan suspek direman empat hari bermula hari ini atas kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.

Sekiranya didapati salah, suspek boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Penguatkuasaan tidak konsisten dan tiada pantauan terhadap penguatkuasaan mata demerit sumbang…