Rahsia di sebalik kelajuan 440 km/j Bugatti Chiron Super Sport

oleh Mohamad Hanif|
Bugatti Chiron Super Sport merupakan varian Grand Tourer kepada Chiron Super Sport 300+, menawarkan pemanduan jarak jauh yang selesa namun masih lagi berkeupayaan untuk mencapai kelajuan 440 km/j.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Untuk mencapai 440 km/j bukan sekadar dibuat menerusi peningkatan kuasa kuda semata-mata, banyak aspek yang perlu dibuat oleh Bugatti sebelum para pembelinya dapat merasai sendiri pengalaman pemanduan Grand Tourer ini.

Berikut merupakan senarai perkara yang dibuat oleh Bugatti terhadap Chiron Super Sport yang memiliki kuasa 1,587 hp dan 1,600 Nm itu.

 

1. Aerodinamik

Chiron


Kereta yang laju memerlukan keseimbangan dari segi aspek aerodinamik yang mampu memberikan kadar daya turun maksimum dan dalam masa yang sama menawarkan kadar rintangan angin yang lebih rendah.

Antara perkara yang diberikan penumpuan termasuklah:

  • Tirai angin - jurutera Bugatti membangunkan komponen tirai angin serba baharu bagi memastikan aliran udara yang lancar mengikut bentuk badan, menstabilkan kenderaan sekaligus meminimumkan pergolakan angin (air turbulence) terutama di bahagian sisi.
  • Aliran udara 8 peratus lebih tinggi berbanding model Chiron – amaun optimum yang diperlukan untuk memastikan penyejukan yang mencukupi untuk enjin W16 ketika kelajuan tinggi.

 

Chiron

 

  • Sembilan outlet udara pada arka roda depan – salah satu rujukan menarik kepada model Bugatti EB110. Untuk mencapai keseimbangan aliran udara, Bugatti turut menggunakan simulasi Computed Fluid Dynamics (CFD), dan komponen ini dikatakan mampu menambah daya turun tambahan 20-30 kg pada kelajuan 380 km/j, sekali gus mengurangkan kesan angkat pada roda depan.

 

Chiron

 

  • Rekaan ekor yang panjang – pada kelajuan tinggi, rekaan ini mampu memastikan aliran udara dari atas dan bawah jentera mampu menghasilkan ruang break-away seminimum yang mungkin, dan ini mampu mengurangkan lagi daya rintangan angin yang mampu memperlahankan kereta.
  • Sayap belakang yang besar – dengan rekaan lapan peratus lebih besar saiznya, ia menjadikan fungsi brek udara yang lebih berkesan, namun ketika mod kelajuan tertinggi, sayap belakang akan disembunyikan sepenuhnya untuk mengurangkan kesan rintangan angin.
  • Diffuser yang direka semula – komponen ini turut direka semula bagi mencipta kesan rintangan yang minimum, namun mampu menstabilkan kereta pada kelajuan atas 400 km/j. Bagi memastikan tahap keberkesanan diffuser, Bugatti telah memposisikan semula rekaan tip ekzos supaya ia bertindih atas satu sama lain.

 

2. Sistem ekzos guna teknik percetakan titanium 3 dimensi

Chiron


Sistem ekzos Bugatti Chiron Super Sport menggunakan teknik percetakan titanium tiga dimensi untuk menghasilkan rekaan dinding berkembar yang nipis (senipis 0.4 mm!).

Kenapa titanium? Ini kerana titanium mempunyai titik lebur sekitar 1,668 darjah Celcius. Antara kelebihan percetakan titanium termasuklah menghasilkan rekaan bucu yang lebih jitu dan kesan celahan yang kecil bagi memaksimumkan aliran udara, malah komponen yang dihasilkan menggunakan teknik ini memiliki berat sekitar 930 gram sahaja, atau satu pertiga lebih ringan jika dibandingkan dengan teknik tuang.

 

3. Enjin W16 yang ditambahbaik

Chiron


Bugatti menggunakan enjin W16 8.0 liter yang mampu menghasilkan 1,600 PS dan 1,600 Nm, di mana garis merah enjin ini kini terletak pada 7,100 rpm, peningkatan daripada 7,050 rpm.

Untuk itu, para jurutera Bugatti telah memastikan beberapa komponen penting direka semula seperti omboh, spring kawalan tekanan yang lebih tegar, pam minyak dengan kadar 140 liter setiap minit untuk memastikan lebih banyak pelincir disalurkan kepada komponen seperti aci engkol, injap, pemacu rantai, aci cam dan juga penyejukan omboh.

Selain daripada senarai modifikasi yang cukup panjang, Bugatti juga turut menitikberatkan aspek pengurangan emisi bunyi pada Chiron Super Sport ini dengan penggunaan casis rantai berbilang lapisan bertetulang gentian serba baharu.

 

4. Unit pengecas turbo yang lebih efisien

Chiron


Peningkatan kuasa tidak tertakluk semata-mata kepada senarai di atas, ia juga turut disumbangkan oleh penggunaan unit pengecas turbo yang telah dioptimasikan.

Keempat-empat turbo kini menggunakan roda pemampat bersaiz 77 mm (berbanding 74 mm) untuk daya pengeluaran yang lebih tinggi, sementara roda turbin itu sendiri bertambah diameter kepada 67.2 mm untuk membenarkan kuasa mampatan yang tinggi.

Menurut Bugatti, pada beban yang penuh, sebanyak 4.8 tan udara mengalir menerusi keempat-empat pengecas turbo setiap jam!

 

5. Nisbah gear baharu

Chiron


Bugatti Chiron Super Sport menggunakan kotak gear klac berkembar tujuh nisbah kelajuan, di mana gear tujuh memiliki nisbah 3.6 peratus lebih panjang berbanding model Chiron, dan penukaran gear 6 ke gear 7 boleh dibuat pada kelajuan 403 km/j.

 

6. Suspensi belakang lebih keras

Untuk menjadikan Chiron Super Sport lebih stabil pada kelajuan atas 420 km/j, jurutera Bugatti telah meningkatkan kadar spring pada gandar belakang sebanyak tujuh peratus.

 

7. Tayar Michelin khas

Chiron


Bugatti Chiron Super Sport menggunakan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang dibangunkan khas oleh Michelin khusus untuk mencapai kelajuan tertinggi melebihi 420 km/j.

Malah setiap satu tayar telah diuji pada kelajuan melebihi 500 km/j, dan diimbas menggunakan sinar X untuk mengesan sebarang ketidaknormalan yang wujud.

Jadi, untuk mencapai kelajuan empat kali ganda had lebuh raya Malaysia bukan lagi satu masalah besar bagi Bugatti Chiron Super Sport.

 

8. Rim serba ringan rekaan baharu

Untuk mengurangkan beban pra bebanan (unsprung mass), Bugatti membangunkan rim aluminium di mana setiap satu memiliki berat kurang 4 kg berbanding rim Chiron.

Untuk mereka yang mahukan lebih, terdapat opsyen rim magnesium dengan penjimatan berat sehingga 16 kg.

 

9. Berapakah harga yang anda perlu bayar untuk semua ini?

Chiron


3.2 juta euro. Atau RM15.29 juta mengikut kadar pertukaran mata wang semasa, tidak termasuk kos-kos yang berkaitan.

Nak tahu berapa pula kos servis untuk sebuah Bugatti Chiron Pur Sport? Rujuk pautan di bawah:

Baca: Kos servis Bugatti Chiron Pur Sport di Malaysia

Berita Berkenaan

Berita Global
  Dari situ lahir Chiron Super Sport ‘57 One of One’ dan kisah di sebaliknya memang menarik.…
Berita Global
Usah risau, kerana Bugatti baharu sahaja mengumumkan penghantaran bagi model Grand Tourer tersebut…
Berita Global
Bugatti Chiron Super Sport merupakan varian Grand Tourer kepada Chiron Super Sport 300+, serta…