R5 TURBO 3E, kereta elektrik untuk drift, daya kilas 700 Nm!

oleh Muhammad Md Tajudin|
R5 TURBO 3E
R5 TURBO 3E
Renault pada tahun ini menyambut ulangtahun ke-50 model ikonik Renault 5 dan banyak pengisian yang dibuat dengan yang terbaru mengeluarkan R5 TURBO 3E.

Sebelum ini Renault tampil dengan Renault 5 Prototype dan projek terbaru R5 TURBO 3E kekal membawa konsep retro dan tribut kepada Renault 5 Turbo dan Turbo 2.

Hatchback ini dinamakan R5 TURBO 3E kerana ianya model susulan Turbo 2 manakala E merujuk kepada elektrik.

Tidak ditawarkan kepada umum, R5 TURBO 3E adalah projek one-off dan dibuat untuk prestasi dan litar. 
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
R5 TURBO 3E

 

R5 TURBO 3E digerakkan nadi elektrik, pacuan roda belakang dan mestilah boleh drift dan sama seperti Turbo 2, dibekalkan dua tempat duduk sahaja.

Turbo 2 mempunyai enjin di belakang, R5 TURBO 3E pula dipasang dua motor elektrik dengan setiap satu menggerakkan roda berasingan.

Bagaimana pula dengan kuasa? Motor elektrik mempunyai output 280 kW atau bersamaan 380 hp dengan daya kilas 700 Nm! 

Pecutan 0-100 km/j hanya memerlukan 3.5 saat atau 3.9 saat dalam mod Drift dan kelajuan maksimum mencecah 199 km/j!

 

R5 TURBO 3E

 

Dari gambar boleh dilihat rangka R5 TURBO 3E menggunakan casis tubular dengan lantai rata dan penumpang dilindungi oleh palang olengan mengikut piawaian FIA. 

Bateri litium-ion berkapasiti 42 kWj dipasang pada bahagian tengah bawah lantai dan mengambil masa dua jam untuk cas penuh menggunakan pengecas 380V/32A.

Dari segi reka bentuk, bonet, pintu dan kokpit kesemuanya sama bentuk seperti Turbo 2 cuma model baharu ini menggunakan gentian karbon.

Paling menonjol ialah sayap besar di belakang yang berfungsi untuk menekan kereta ke bawah di kala pemandu sedang membuat aksi drift.

 

R5 TURBO 3E

 

Selain itu, laluan udara yang besar pada bampar depan dibuat untuk menyejukkan enjin dan juga menambah daya mendap dan tiga kotak bersegi pada bampar adalah identiti Turbo 2. 

Rekaan lampu kabus berkotak juga seperti Turbo 2 dengan yang terbaru ada empat unit dan setiap satu mengandungi 16 LED.

Ada lagi elemen nostalgik Turbo 2 yang disesuaikan dengan model baharu sebagai contoh liang udara bonet kini menjadi lokasi soket pengecasan bateri. 

Bahagian belakang dipasang barisan lampu LED berwarna merah jambu, biru dan LED yang menyala apabila kereta diapungkan dan ala permainan video era 80an dan 90an.

 

R5 TURBO 3E

 

Lagi ciri menarik ialah sepuluh cagak pada bahagian luar dan dalam kereta untuk kamera bagi merakam aksi pemanduan dan drifting.

Pada bahagian dalam Renault menggabungkan banyak konsep seperti permotoran, permainan video dan semestinya elemen Renault 5 dan Renault 5 Turbo 2.

Kerusi perlumbaan dibuat daripada gentian karbon dengan tali keledar keselamatan dan stereng hasil kerjasama Sabelt.

 

R5 TURBO 3E

 

Elemen retro digunakan pada corak tartan kerusi dan turut membalut papan pemuka. Satu lagi ciri Turbo 2 ialah sepuluh meter analog yang digantikan dengan sepuluh skrin digital.

Paparan itu berfungsi seperti widget dengan imej ala Pixel Art dan Glitch Art ala permainan retro dan satu lagi contoh, untuk menghidupkan kereta butang Free Play perlu ditekan.

Mod pemanduan pula menggunakan nama Turbo untuk drifting, Track invader untuk bermain dan Donut untuk pusingan 360 darjah.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

R5 TURBO 3E