Q3 2022: Perodua catat peningkatan 5 peratus, jumlah jualan 69,011 unit

oleh Mohamad Hanif|
Perodua mencatatkan rekod jualan suku ketiga 2022 (3Q22) sebanyak 69,011 unit, atau peningkatan lima peratus berbanding 65,719 unit yang didaftarkan pada suku kedua 2022.

Ini adalah berikutan rantaian bekalan automotif yang semakin baik.

“Peningkatan pendaftaran pada suku ini (3Q22), menunjukkan kebanyakan isu utama dalam rantaian bekalan automotif telah pulih. Kini tiba masanya untuk menambah baik pengeluaran kerana kami perlu mengurangkan tempoh menunggu para pelanggan kami yang dihargai,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Bagi perbandingan suku-ke-suku, pendaftaran kenderaan melonjak sebanyak 216.5% berikutan sekatan yang dikenakan antara Jun dan pertengahan Ogos tahun lepas ke atas hampir semua aktiviti ekonomi di negara ini bagi mengekang peningkatan kes Covid-19. Antara Julai dan September 2021, Perodua hanya menjual sebanyak 21,803 unit.

Bagi perbandingan tahun setakat ini, jualan meningkat sebanyak 64.9% kepada 196,354 unit dari Januari hingga September 2022 berbanding 119,093 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Jumlah pendaftaran kenderaan Perodua menurun 5.43% kepada 24,626 unit pada September berbanding 26,039 unit yang didaftarkan pada Ogos 2022 sebagai sebahagian daripada pelan memaksimumkan pendaftaran kenderaan syarikat kereta kompak itu pada suku keempat tahun ini.
 
“Buat masa ini, kami memberi fokus untuk meningkatkan momentum kami ke suku keempat tahun ini serta memaksimumkan pengeluaran pada suku pertama tahun depan bagi memastikan semua pelanggan kami yang menempah kenderaan Perodua mereka dalam tempoh pengecualian cukai jualan akan menerima kereta mereka pada atau sebelum 31 Mac 2023,” kata Dato' Sri Zainal.

Setakat 30 Jun 2022, bilangan tempahan tertunggak yang layak untuk pengecualian cukai jualan adalah melebihi 200,000 pesanan.

Mengenai pengeluaran, Perodua telah mencapai pengeluaran bulanan tertinggi setakat tahun ini dengan 29,077 unit pada September, manakala jumlah setakat tahun ini (Januari hingga September 2022) adalah pada 206,837 unit.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Buat masa ini, spesifikasi penuh hanya akan diketahui menjelang pelancaran rasmi, namun berdasarkan…
Berita Domestik
Menurut Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya sudah pun mengambil…
Berita Domestik
Namun Presiden dan CEO Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad menjelaskan keupayaan Perodua pada ketika…