PUSPAKOM tambah baik sistem, hapus tempahan slot berganda

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Kerajaan melalui Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini mengumumkan beberapa langkah bagi menangani kesesakan dan kesukaran bagi mendapat slot tempahan pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM.

Antara langkah utama yang diambil ialah menghapuskan tempahan slot pemeriksaan berganda di PUSPAKOM bagi nombor pendaftaran yang sama.

Langkah tersebut bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan oleh orang tengah atau "runner" yang didapati menjual slot pemeriksaan kepada pihak lain untuk keuntungan berlebihan.

Bagi mengurangkan lagi kesesakan, PUSPAKOM akan meningkatkan waktu operasi selama 12 jam sehari sepanjang Mac ini, menjadikan tambahan waktu operasi selama empat jam untuk semua cawangan kecuali Langkawi dan Pekan.

Pusat pemeriksaan juga akan dibuka pada setiap hari Sabtu sepanjang bulan ini bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pemilik kenderaan mendapatkan slot pemeriksaan.

Sebagai satu lagi usaha untuk mengurangkan beban pemilik kenderaan, Kementerian Pengangkutan turut memperkenalkan sistem deklarasi kendiri bagi beberapa item pemeriksaan yang tidak melibatkan aspek keselamatan.

Antara 5 item yang diberi kelonggaran pemeriksaan mandatori ialah tanda badan kenderaan, tanda had laju, kit bantuan kecemasan, nombor pendaftaran, keadaan tempat duduk penumpang bagi kenderaan perkhidmatan awam.

 

2

 

Item pemeriksaan itu akan dikeluarkan daripada senarai mandatori bagi kelulusan pemeriksaan PUSPAKOM, namun pemilik kenderaan perlu membuat deklarasi kendiri bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan tersebut.

Selain itu juga, kerajaan akan mempertimbangkan pengecualian larangan waktu puncak kepada kenderaan berat yang mempunyai tempahan sah di PUSPAKOM.

Langkah itu berikutan berlaku kesesakan di pusat pemeriksaan kerana ramai pemandu kenderaan berat terpaksa tiba lebih awal untuk mengelakkan larangan berada di lebuh raya pada waktu puncak.

Menurut Anthony Loke, perbincangan telah diadakan dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi membolehkan kenderaan terbabit menggunakan lebuh raya pada waktu larangan, dengan syarat mereka mengemukakan bukti tempahan kepada pihak penguatkuasa.

Sebagai tambahan juga, Kementerian Pengangkutan akan memanjangkan tempoh pemeriksaan awal PUSPAKOM daripada 14 hari kepada 30 hari sebelum tarikh tamat Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Semua langkah penambahbaikan ini akan mula berkuat kuasa pada 17 Mac 2025.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Kita masih menunggu siasatan, saya tidak boleh komen dahulu. Saya tidak mahu membuat kesimpulan…
Informasi
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, sebelum pembukaan cawangan itu,…
Berita Domestik
Penambahbaikan tersebut melibatkan dua aspek penting iaitu pemeriksaan ketebalan bunga tayar dan…