Puspakom buka cawangan baharu di Langkawi

oleh Penyumbang Rencana|
foto Faceboom Puspakom
Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) telah membuka cawangan baharunya di Langkawi, Kedah bagi memberikan kemudahan yang lebih selesa dan mudah diakses kepada penduduk pulau itu untuk mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.

Cawangan baharu yang terletak di PT2942, Persiaran Bunga Raya, Pekan Kuah itu telah memulakan operasi sejak Ahad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, sebelum pembukaan cawangan itu, pelanggan mendapatkan pemeriksaan kenderaan di tapak pemeriksaan sementara Puspakom yang terletak di Kompleks Kilim.

Bagaimanapun katanya, tapak sementara yang hanya menggunakan Unit Trak Bergerak Puspakom sejak tahun 2023 telah menamatkan operasinya pada 30 Mei lalu.

“Pembukaan cawangan baharu ini dijangka akan memudahkan urusan pelanggan persendirian dan komersial di Langkawi untuk menjalani pemeriksaan kenderaan mengikut piawaian keselamatan dan peraturan jalan raya di negara ini.

“Ia juga mencerminkan komitmen kami untuk memastikan akses yang lebih meluas kepada perkhidmatan pemeriksaan, selain menyediakan lokasi yang lebih strategik dan hampir dengan pusat bandar,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

cawangan baharu itu menawarkan perkhidmatan seperti Pemeriksaan Awalan, Pemeriksaan Berkala, Pemeriksaan Tukar Hak Milik, Pemeriksaan Sewa-Beli dan lain-lain.

Menurutnya, cawangan itu beroperasi dari Ahad hingga Khamis bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Dengan kapasiti pemeriksaan sehingga 100 kenderaan sehari, ia dilengkapi kemudahan
seperti ruang menunggu berhawa dingin, surau dan tandas, serta dua lorong pemeriksaan untuk meningkatkan kecekapan operasi.

“Pembinaan cawangan tetap ini merupakan sebahagian daripada kempen #MacamBaharu iaitu satu inisiatif transformasi Puspakom dalam menjadi organisasi yang lebih kompetitif, berkualiti serta berintegriti sejajar dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri pemeriksaan kenderaan di Malaysia,” katanya.

 

Puspakom

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Antara lain, keadaan ini dicetuskan oleh faktor kenaikan harga diesel susulan konflik Asia Barat…
Berita Domestik
Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat 36,733 tiket masih belum terjual setakat ini dan…
Berita Domestik
Menurut beliau, keputusan ini dibuat bagi membanteras penyalahgunaan status bebas cukai oleh…