Pusingan U bernilai RM5,500! Pemandu wanita didenda, memandu secara tidak selamat

oleh SALINA JALIL|
Seorang wanita yang tular di laman sosial baru-baru ini kerana memandu secara tidak cermat dengan membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat Taman Bersatu, Rawang sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal cedera parah didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini.


Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga dalam talian, Nor Haity Muhamad Aziz, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Mahkamah turut memerintahkan ibu kepada tiga anak itu menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

 

Mengikut pertuduhan, Nor Haity memandu kereta Proton Persona di atas jalan raya dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa terhadap orang lain di persimpangan lampu isyarat di Taman Bersatu, Rawang dekat sini pada 4.30 petang 7 Februari lalu.

 

Dia didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda minimum 5,000 dan maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan.

 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana mangsa dalam kes itu cedera parah akibat kemalangan itu.

 

"Dalam kes ini, tertuduh tidak memiliki lesen memandu dan dia sepatutnya tidak boleh memandu kereta tanpa lesen," katanya.

 

Nor Haity, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan suaminya tidak bekerja manakala dia hanya berniaga dalam talian untuk menyara keluarga dan tiga anak mereka yang masih kecil.

 

Menurut fakta kes, kemalangan itu berlaku semasa mangsa sedang menunggang motosikal jenis SYM dari arah pekan Rawang menghala ke rumahnya di Taman Tun Teja, Rawang apabila secara tiba-tiba, sebuah kereta dari arah bertentangan telah membuat pusingan U di tempat kejadian.

 

Berikutan itu, mangsa seorang wanita berusia 23 tahun tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian hadapan kiri kereta itu serta mengalami kecederaan parah iaitu patah kaki kanan dan tangan kiri selain luka di bahagian badan.

 

Media sebelum ini melaporkan video berdurasi 21 saat yang memaparkan sebuah motosikal merempuh sebuah kereta yang secara tiba-tiba membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat di lokasi itu tular di laman sosial.

 

 

 

Bernama