Pusingan Ketiga Vios Challenge Racing di Stadium Batu Kawan minggu ini!

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Luangkan masa hujung minggu anda (23-24 Februari) ini dengan hadir beramai-ramai ke karnival automotif Toyota Gazoo Racing dan perlumbaan jalanan Toyota Vios Challenge Pusingan ketiga. 

Seperti biasa, pelbagai aktiviti menarik akan dihidangkan kepada para peminat, selain daripada penampilan khas selebriti terkemuka, perhimpunan kelab kereta Toyota dan pameran kenderaan baharu Toyota.

Namun, kemuncak utama festival tersebut sudah tentulah perlumbaan jalanan Toyota Vios Challenge untuk pusingan ketiga dalam litar sepanjang 1.56 km di perkarangan Stadium Batu Kawan.

Terdiri daripada 11 selekoh dan enam laluan lurus, perlumbaan ini bakal menyaksikan hampir 40 pemandu berentap sesama sendiri di dalam tiga kelas yang berbeza; Kategori Promotional, Sporting dan Super Sporting. 

 

Kategori Promotional


Akim Ahmad antara yang mencuri tumpuan pada pusingan kali ini dengan tiga kedudukan podium daripada empat perlumbaan, dan ini merupakan kali pertama beliau beraksi di litar Batu Kawan. 

Malah, beliau juga akan bersaing dengan pemegang rekod pusingan terbaik di Batu Kawan, Diana Danielle dan Janna Nick.

Sementara itu, Nabila Razali, Wany Hasrita dan Khai Bahar, serta Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Akio Takeyama masih mengintai peluang untuk naik ke podium pada pusingan kali ini.

 
Kategori Sporting


Antara yang bakal memberikan saingan yang sengit ialah beat boxer Shawn Lee yang tidak dapat beraksi di pusingan kedua MAEPS akibat kesilapan sendiri yang dilakukan ketika sesi latihan. 

Namun, beliau berazam untuk memberikan aksi pemanduan yang lebih baik, memandangkan saingan di dalam kategori ini juga terdiri daripada pemandu-pemandu amatur yang berbakat. 

Rakan selebriti beliau, Mohd Shukri Yahaya juga akan cuba mengulangi prestasi terbaik beliau ketika di Batu Kawan musim lalu. 

Selain daripada Shawn Lee dan Mohd Shukri Yahaya, turut memberikan saingan di dalam kategori ini termasuklah Dato' Ken Foo (Kulim Top Wheels), Kenneth Koh (Panglima City Racing Team), Patrick Tam (Team Nanoplus), Eric Yong (ST Wangan Racing), Clement Yeo (Distinctive Model) dan Brendon Lim (Tedco Racing).

 

Kategori Super Sporting


Setelah empat perlumbaan, antara nama yang kerap menampilkan persembahan mantap dan konsisten ialah William Ho, Boy Wong, dan Kenny Lee.

Daripada ketiga-tiga pelumba terbabit, hanya Boy Wong yang berjaya menjadi satu-satunya pemandu yang berjaya menamatkan keempat-empat perlumbaan dan meraih tiga kedudukan podium, sekaligus menjadi pendahulu secara keseluruhan. 

Namun, William juga mempunyai sejarah yang sangat menarik apabila memiliki penamat terbaik di Batu Kawan pada musim lalu. 

Tidak sabar rasanya untuk menyaksikan pelumba-pelumba daripada ketiga-tiga kategori ini mempamerkan skil pemanduan masing-masing di Batu Kawan pada hujung minggu ini. 
 


Buat para peminat aksi lasak drift, usah lepaskan peluang untuk melihat dengan lebih dekat aksi pemandu drift profesional yang didatangkan khas daripada negara matahari terbit dengan jentera Toyota GT86 Toyo Tyres yang diubahsuai. 

Acara Fun Run pula akan diadakan pada pagi Ahad (24 Februari) di mana para peminat aktiviti sihat akan dibenarkan untuk berlari di dalam litar sepanjang 1.56 km. 

Sesi bersama peminat dan persembahan selebriti akan menjadi penutup kepada acara dua hari berkenaan. 

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Bukan itu sahaja, hujung minggu tersebut turut dimeriahkan dengan kemunculan jentera lumba Toyota…
Berita Domestik
Bermula dari tahun 2017 hingga 2023, setakat ini sudah lebih daripada 18 juta rakyat Malaysia…
Sukan Bermotor
Perlumbaan 1 pada hari Sabtu (3 Jun) menyaksikan pelumba muda memberikan saingan sengit kepada…