Puritalia Berlinetta, 'kuda' Itali berkuasa 965 hp dan tork 1,248 Nm!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Kebelakangan ini semakin banyak jenama kereta super dan hiper muncul, ini menunjukkan bahawa teknologi tidak eksklusif kepada jenama tradisional sahaja. Pada Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva Mac lalu, sebuah jenama dari Itali iaitu Puritalia Automobili melancarkan model super hibrid yang dikenali sebagai Berlinetta.

Puritalia Automobili bukan sebuah syarikat baharu dan ia ditubuhkan pada tahun 2010. Berlinetta adalah model kedua selepas 427 Roadster yang diperkenalkan tujuh tahun lalu. Berlinetta hadir dalam bentuk yang berlawanan trend, tidak mempunyai badan leper seperti kereta super atau hiper sekarang dan mengekalkan bentuk grand tourer.

Selepas Geneva, Berlinetta akan ditampilkan pada sebuah lagi pameran berpresti iaitu Salon Privé di Istana Blenheim September depan. United Kingdom sebenarnya adalah pasaran penting buat Puritalia kerana negara tersebut mencatatkan minat yang tinggi buat jenama Itali itu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Puritalia Berlinetta

 

Semasa pameran tersebut, Puritalia Automobili akan mengumumkan dua pengedar rasmi untuk United Kingdom dan Australia.

Jadi apa istimewanya Berlinetta? Selain daripada bentuk yang berlawanan trend, nadi kuasanya mempunyai prestasi tinggi. Berlinetta dibekalkan enjin V8 pada bahagian depan dan digabungkan bersama motor elektrik pada bahagian belakang yang memberikan kuasa 965 hp dan tork 1,248 Nm.

Kuasa tersebut menjadikan Berlinetta sebagai kereta super hibrid Itali paling berkuasa. Berlinetta menggunakan casis hibrid gentian karbon pada bahagian tub dan kerangka sub aluminium. Panel badan pula diperbuat daripada gentian karbon pre-preg dan kemasan dalaman daripada gentian karbon terdedah.

Berlinetta turut membawakan pelbagai teknologi yang dipatenkan seperti Puritalia Purhydrive© untuk pengurusan pintar kuasa elektrik melalui pembelajaran automatik gaya pemanduan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Puritalia eMozione© untuk peningkatan daya kilas oleh motor elektrik kepada tambahan 370 Nm secara permintaan (on-demand).

 

Puritalia Berlinetta

 

Lagi teknologi yang dibawa ialah Puritalia Digital-DNA© yang menggunakan sistem kawalan kenderaan terhubung (connected) sepenuhnya bagi mengawal keseluruhan kereta melalui skrin sesentuh, arahan suara dan turut boleh di kawal melalui telefon pintar.

Teknologi Puritalia Orchestra© pula adalah sistem ekzos berkembar dengan modulasi elektronik pintar dan paip sisi aktif yang boleh dikawal.

Untuk mereka yang berminat, Puritalia Sartoria© adalah sebuah program pengubahsuaian secara peribadi bagi membantu pembeli membina kereta mengikut citarasa tersendiri dan hubungan terus dengan pasukan pereka.

Sebanyak 150 unit sahaja Puritalia Berlinetta yang akan ditawarkan kepada pelanggan dan berkenaan harga, tiada lagi pengumuman rasmi. Apa yang pasti, kereta terhad dengan kuasa tinggi begini tidak pernah murah.

Penulis: Muhammad Md Tajudin