Proton/Geely timbang bina kilang EV di Thailand - petanda ke arah globalisasi

oleh HEZERI SAMSURI|
Berita Proton dan Geely mahu menimbangkan usul membuka kilang EV di Thailand mengejutkan ramai.

Ia diumumkan sendiri orang Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin yang ketika itu berada di Kuala Lumpur dalam misi lawatan ke negara-negara Asean untuk mencari pelaburan.

Thavisin bagaimanapun tidak memberikan sebarang perincian akan kenyataan beliau.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebelum itu, Geely dan DRB-Hicom telah menandatangani satu lagi perancangan untuk membangunkan hab automotif di Tanjung Malim dan Geely dan Proton dijangka akan melabur sehingga RM10 billion (jumlah terkumpul bermula dari tahun 2018 sehingga 2027).

Pembangunan Projek Automotive High Tech Valley (AHTV) yang berlaku di Tanjung Malim itu secara keseluruhan akan menarik pelaburan berjumlah RM32 bilion, termasuk oleh Geely/Proton (berita lanjut di pautan ini).

 

 

Sudah menjadi lazim sekarang ini syarikat-syarikat dari China mahu melabur sejumlah wang yang besar, walaupun nilai pelaburan sebenar masih tidak diketahui. 

Apapun, sekiranya Proton dan Geely mahu membuka satu kilang EV di Thailand, itu ialah berita gembira yang patut disambut dengan positif oleh rakyat Malaysia.

Kita harus akur, 90 peratus projek pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia ialah hanya untuk memenuhi syarat-syarat insentif yang membantu menurunkan sedikit harga kenderaan.

Apa yang didambakan oleh mana-mana negara Asean ialah untuk menjadi hab serantau dan setakat ini, Thailand ialah rajanya.

Malah, Thailand menjadi hab global untuk trak pikap saiz sederhana, di mana produk-produk itu dieksport ke seluruh dunia.

Begitu juga dengan Indonesia, di mana ada beberapa model yang dibangunkan khusus untuk pasaran di sana, dan kemudian dieksport ke negara-negara Asia Pasifik termasuk Malaysia.

 

 

 

Eksport kenderaan oleh Malaysia sangat minimum, di mana ia dilakukan oleh Mazda, Volvo, Honda, Proton dan beberapa jenama lain dalam jumlah yang kecil. 

Kita lebih banyak mengeksport komponen tetapi jumlah masih kecil jika dibandingkan dengan Thailand.

Cuba lihat fakta di bawah untuk tahun 2022:

TIV - Total Industry Volume, jumlah kenderaan yang dijual di dalam negara
TPV - Total Production Volume, jumlah kenderaan yang dihasilkan di dalam negara

Malaysia
Jumlah TIV: 720,658 unit
Jumlah TPV: 702,000 unit

Thailand
Jumlah TIV: 840,000 juta unit
Jumlah TPV: 1.88 juta unit

Indonesia
Jumlah TIV: 1.05 juta unit
Jumlah TPV: 1.47 juta unit

Agensi-agensi kerajaan di Malaysia cukup jarang menyebut jumlah TPV kita dan yang sering dicanang ialah TIV.

Angka-angka di atas jelas menunjukkan bahawa Thailand dan Indonesia menghasilkan kenderaan lebih banyak dari jumlah yang dijual, menandakan mereka mengeksport lebihan kenderaan itu ke luar negara.

 

 

Untuk Malaysia, jumlah jualan kenderaan kita lebih tinggi dari pengeluaran, bermakna kita banyak mengimport masuk kenderaan ke dalam negara. Tidak guna angka jualan yang tinggi jika kita lebih banyak mengimport.

Indonesia dan Thailand juga ada mengimport masuk kenderaan tetapi jumlah itu boleh dimaafkan kerana mereka masih memasang lebih banyak kenderaan untuk dieksport.

Kita juga perlu akur untuk hentikan angan-angan mengeksport kenderaan yang dipasang di Malaysia untuk masuk ke negara jiran. 

Indonesia dan Thailand menjaga pasaran tempatan mereka dan kenderaan yang dibawa masuk, walaupun dari negara ASEAN yang sepatutnya patuh kepada perjanjian perdagangan AFTA, tidak begitu mudah mendapat harga yang rendah.

Oleh kerana itu, sekiranya Proton mahu masuk ke pasaran EV Thailand, adalah lebih baik untuk mereka membuka kilang di negara itu. 

 

 

Ya, mungkin kita tidak dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan tetapi kita boleh memberikan fokus yang lebih kepada sektor pembuatan komponen-komponen bernilai tinggi yang akan dieksport ke kilang kita di luar negara.

Secara tak langsung, Malaysia akan menghasilkan lebih banyak pekerja berkemahiran tinggi dengan pendapatan yang lebih baik. 

Menjudikan nasib negara dalam sektor pengilangan sahaja adalah merugikan kerana negara yang mampu menawarkan kos upah yang rendah pasti akan menang. Kita boleh lihat sendiri bagaimana kilang-kilang dunia berpindah-randah dari satu negara ke negara yang lain, mencari lokasi yang menawarkan upah buruh yang lebih rendah.

Saya sering menulis bahawa kerajaan dan pihak media sendiri perlu berhenti mengulang skrip sama yang hanya untuk "menyedapkan hati" dan menjadikan kita jaguh kampung.

Kali ini, sudah wujud peluang untuk kita mengembangkan sayap keluar dari sarang ini. Sekiranya Perodua tidak dibenarkan keluar oleh rakan kongsinya, saya kira kita patut ambil peluang yang diberikan oleh Geely ini tanpa berfikir panjang.

Wallahuallam.

 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh CEO Proton, Dr. Li Chunrong dalam satu majlis sambutan…
Berita Global
Beliau mendedahkan bahawa Geely Auto akan menggabungkan platform Cell-to-body (CTB) generasi baharu…
Berita Global
Kini, Geely baru sahaja melancarkan EV pertama di bawah jenama mereka sendiri iaitu Geely Galaxy E8…