Dalam hantaran terbaharu di laman Instagram rasmi, Proton mengesahkan tempahan bagi model SUV tersebut hanya boleh dibuat di pusat pengedar 3S dan 4S sahaja di seluruh negara.
Proton X90 hanya akan ditawarkan dalam empat varian, dimana pembeli boleh mendapatkan versi tujuh atau enam tempat duduk untuk versi andalan.

Secara standard, Proton X90 dibekalkan dengan nadi hibrid ringan 1.5 liter TGDI yang mampu menjana kuasa 190 PS dan 300 Nm, dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan.
Selain itu, kesemua model mendapat ciri lampu LED, rim aloi 18 inci (dua varian tertinggi dapat rim 19 inci), serta skrin infohibur 12.3 inci.
Varian Executive menerima tambahan ciri sistem pemantauan tekanan tayar, pintu tailgate berkuasa, tempat duduk balutan leatherette, serta kamera 360 darjah.

Dua varian tertinggi mendapat kelengkapan bantuan pemandu termaju (ADAS), rim aloi 19 inci, pengecasan peranti pintar tanpa wayar dan Auto Park Assist.
Eksklusif untuk varian Flagship, ia mendapat ciri bumbung panorama, 'boss switch' pada tempat duduk penumpang hadapan, dan tempat duduk baris kedua jenis kapten.
Setakat ini, harga jualan masih lagi belum diketahui.