Proton X90 2023 bakal tiba dengan sistem hibrid ringkas 48V - laporan

oleh Mohamad Hanif|
sumber gambar: FB The Ajerul
Proton dijangka akan melancarkan kereta hibrid pertama mereka pada tahun ini.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Mengikut laporan rakan media Paultan, model hibrid pertama itu merupakan SUV tiga baris tempat duduk Proton X90 yang dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo dan dipadankan dengan bantuan sistem hibrid ringan (mild-hybrid) 48 voltan Belt-Driven Starter Generator (BSG).

Enjin tiga silinder sebaris itu dijangka berupaya menjana kuasa setinggi 190 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 300 Nm @ 1,500-4,000 rpm, jauh lebih berkuasa berbanding enjin 1.5 liter standard (177 PS/255 Nm).

 


Tidak seperti sistem hibrid konvensional yang memerlukan motor elektrik disumbatkan di antara enjin dan transmisi, sistem BSG ini membekalkan kuasa tambahan menerusi tali sawat yang dihubungkan kepada aci engkol.

Ia memperoleh kuasa daripada bateri 48V, di mana sistem BSG ini juga berupaya untuk mengecas kembali bateri ini menerusi pemulihan tenaga brek, dan tidak memerlukan palam pengecasan luar seperti sistem plug-in hybrid (PHEV).

Disebabkan sifatnya sebagai sebuah hibrid ringan, Proton X90 MHEV ini dijangka tidak akan menawarkan mod pemanduan elektrik tulen seperti sistem e:HEV Honda atau Hybrid Synergy Drive Toyota.
 

X90


Beberapa minggu kebelakangan ini, muncul gambar-gambar di media sosial yang memaparkan imej X90 yang bakal dilancarkan kelak, meskipun masih lagi sarat dengan pelekat perlindungan.

Antara ciri menarik termasuklah rekaan jeriji hadapan yang lebih berbeza berbanding model kembarnya Haoyue/Okavango, serta kehadiran perumah penderia yang memungkinkan X90 menawarkan ciri keselamatan termaju seperti brek kecemasan autonomi dan kawalan jelajah adaptif.

Sementara ruang kabin X90 pula adalah hampir sama sahaja dengan model asal Geely, melainkan posisi stereng kini berada di sebelah kanan.

 

Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi SUV tiga baris tempat duduk yang dijangka berlangsung pada tahun ini.

Sumber: Paultan

Sumber gambar: FB The Ajerul

Berita Berkenaan

Berita Global
Acara tersebut dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Rakyat Bangladesh, Haznah Md…
Berita Domestik
Selain itu, turut menerima kurniaan kereta daripada Seri Paduka Baginda ialah bekas Datuk Pengelola…
Berita Domestik
Rakan media Funtasticko telah berjaya menemukan pendaftaran tanda dagang "Proton X80" menerusi…