Proton X50 vs X70, mana lebih berbaloi?

oleh SALINA JALIL|
Ramai yang serba salah dan ingin mengetahui perbezaan antara SUV segmen B 2020 Proton X50 dan SUV segmen C 2020 Proton X70, kerana secara purata perbezaan yang ketara adalah dari segi harga, di mana ianya hanya sekitar RM10K sahaja dan juga saiz.


Ketepikan sebentar sentimen bahawa kedua-dua model X50 dan X70 berasal dari segmen yang berbeza. Secara amnya, kedua-dua kereta ini mempunyai beberapa persamaan iaitu lima tempat duduk dengan harganya yang hampir sama.

 

Beberapa minggu yang lalu, Careta telah ke Desaru untuk menguji sendiri Proton X50 yang dikatakan kereta terhangat di pasaran.

 

 

Berbekalkan sesi pemanduan X70 pada dua tahun lalu, kami mengambil peluang untuk membandingkan kedua-dua model ini dan meringkaskan perbezaan di antara kedua-duanya dan yang mana lebih sesuai dan lebih bernilai untuk wang anda. 

 

 

Kedua-dua Proton X50 dan X70 hadir dalam empat varian. X50 yang lebih kecil berkisar antara RM 79,200 sehingga RM 103,300 sementara X70 yang lebih besar dengan harga berkisar di antara RM 89,900 hingga RM 115,800 - semua harga dikecualikan SST, sah sehingga 31-Disember 2020.

 

dari atas

 


Dengan kata lain, jurang harga antara kedua model tidak hanya kecil, tetapi beberapa varian saling bertindih di antara satu sama lain.

 


Sudah tentu terdapat beberapa perbezaan seperti enjin, ruang kabin dalaman, dan aksesori yang bersesuaian untuk penggunaan kereta yang lebih besar, berat kereta itu sendri dan penggunaan bahan api yang lebih rendah serta kemudahan ruang penyimpanan barang, di sinilah faktor penentu pembelian.

 

 

Perkara pertama yang berbeza adalah ruang boot, di mana X50 didatangkan dengan saiz sebesar 330 liter, sementara X70 pula bersaiz 512 liter.


Walaupun untuk standard SUV segmen B, ruang boot 330 liter X50 ini masih terlalu kecil, terutamanya jika dibandingkan dengan ruang boot Honda HR-V yang hadir dengan 437 liter. Malah untuk varian hibrid HR-V pula dengan bateri lithinium Ion, ruang bootnya lebih besar iaitu sehingga 404 liter, ini lebih besar dari X50. 

 


Di antara perbandingan di antara Proton X70 dan Proton X50, yang mana lebih menarik untuk dipandu dan bagaimana pula daya pengendaliannya berbanding sebuah kereta sedan.

 

 

X50 lebih kecil, terasa lebih ringan di kaki dan ia tidak seberat X70 yang mempunyai berat sehingga 1.7 tan. X50 juga kelihatan lebih lincah dan hampir sama keselesaan seperti X70. Sudah tentu, X70, menjadi kereta jarak jauh, tentu lebih senyap bila dipandu dengan lebih laju. 

 


Dan semasa sesi pandu uji kami bersama X50 dua minggu lalu, sememang kadar NVH (Noise, Vibration and Harshness) amat ketara sekali apabila berada di lebuh raya walaupun kami tinggikan suara radio tetapi deruman angin masih jelas kedengaran.

 

Harga untuk X50 bermula dari RM 79,200, untuk varian Standard 1.5T tetapi ini hanya varian paling rendah, ini menjadi daya  penarik yang utama tetapi perlu diingatkan ia hanya datang dengan 4 beg udara, kerana dengan hanya RM 5,000 lebih, anda boleh mendapatkan varian Eksekutif 1.5T yang lebih lengkap dengan 6 beg udara dan tempat duduk kulit, dan varian ini semestinya merupakan varian X50 termurah yang patut anda miliki.
 

 

Tetapi sekiranya mahukan yang lebih besar, anda perlu menambah RM 5,000 lagi akan menjadi pemilik X70 standard. Sekiranya anda tidak yakin dengan enjin tiga silinder X50, X70 menawarkan unit 4 silinder yang lebih konvensional, keduanya dipasangkan dengan transmisi automatik dwi-klac 7-kelajuan yang sama.

 


Dari segi ciri-ciri hiburan/infotainmen, varian eksekutif X50 mid-range sepadan dengan entri level X70 Standard. X70 Standard didatangkan dengan 6 pembesar suara yang lebih baik berbanding X50 Executive yang cuma 4 pembesar suara sahaja, serta ruang kabin yang lebih luas, tetapi anda harus mengorbankan kerusi kulit serta lampu LED yang tersedia di X50 Executive.

 

Yang mengecewakan kami adalah, kedua-dua model, X50 dan X70 tidak didatangkan dengan "Apple CarPlay" mahupun "Android Auto", solusi untuk anda yang ingin mendengar lagu-lagu dari Spotify adalah dengan menggunakan "bluetooth" .

 

 

Yang perlu menjadi persoalan adalah sama ada anda lebih suka kereta yang lebih ekonomi dengan kadar bahan api yang lebih baik, kemudahan ruang simpanan barang yang lebih kecil dan pengendalian yang lebih baik berbanding dengan ruang kabin yang lebih besar dan keselesaan yang sedikit lebih baik.

 

Sekiranya anda membeli varian spesifikasi tertinggi, secara automatik anda akan mengharapkan kereta pembelian itu mempunyai semua yang ditawarkan, dan di sinilah kekurangan X70 terserlah.


Namun begitu apabila anda membuat perbandingan di atas faktor di atas, kemenangan memihak kepada X50.

 

Kedua-dua varian X50 Premium dan Flagship mempunyai infotainment skrin sentuh 10.25 inci yang lebih besar, berbanding X70 yang hanya didatangkan dengan unit bersaiz 8 inci.

 

dashboard x50

 

Perlu diingatkan bahawa X70 adalah sebuah kereta yang lebih besar, akan tetapi mempunyai skrin yang lebih kecil. Sememangnya pelik melihat kekurangan skrin infotainment X70 ini.

 

Infotainment GKUI19 yang lebih baharu pada X50 juga menggunakan perkakasan sistem on-chip (SoC) quad core E01 yang lebih pantas, ia dibekalkan oleh MediaTek. Ia juga mempunyai dua kali ganda ruang penyimpanan berbanding X70, yang cuma berjumlah 32 GB sahaja.

 


Satu-satunya kelebihan X70 adalah ia didatangkan dengan 9-pembesar suara yang lebih canggih dengan sub-woofer dan ditambah dengan tempat duduk dari kulit Nappa.

 

 

Salah satu kelebihan X50 yang tidak dapat disangkalkan adalah rangkaian ciri bantuan memandu lanjutan (ADAS) yang lebih maju.

 


Kawalan pelayaran adaptif X50 juga ditambah dengan fungsi "Stop & Go", yang bermaksud bahawa kereta ini dapat berhenti sepenuhnya dan dapat dipercepatkan perjalanan apabila aliran trafik bergerak semula, ciri ini tiada di X70.

 


Bantuan pengemudian juga ditambah dengan "Lane Keeping Assist", sementara X70 hanya mampu memberi amaran yang dapat didengar sahaja.

 


Ciri terakhir adalah Auto Park Assist, yang mampu meletak kenderaan selari dan tegak lurus separa automatik. Pemandu masih mengawal brek serta beralih di antara Reverse dan Drive dan tindakan pengemudian dilakukan secara automatik.

 


Semua ciri baharu ini tidak terdapat di X70. Sekiranya anda peminat gadget, X50 TGDi Flagship yang berharga RM 10k lebih murah adalah tawaran yang lebih baik jika dibandingkan dengan X70 Premium dan Premium X.

 

 

Rim tayar X50 pula yang bersaiz 18-inci, tayar bersaiz ini juga lebih murah untuk diganti berbanding X70 Premium dan Premium X-19-inci, saiz ukuran lebih besar daripada yang diperlukan. Lebih baik membelanjakan wang untuk tayar yang lebih kecil, tetapi lebih berkualiti dan lebih selamat daripada yang lebih besar tetapi biasa-biasa saja, hanya untuk kelihatan 'sporty'.

 


Namun tidak seperti X70 Premium dan Premium X, X50 tidak dilengkapi dengan pintu belakang yang dikendalikan oleh elektrik yang dipasang di kilang. Tetapi itu tidak menjadi masalah kerana Proton ada menawarkan pakej aksesori yang merangkumi pintu belakang yang dikendalikan dengan kuasa (tidak ada ciri tanpa sentuh) dan alat pembaca Tag Pintar terpasang, dengan harga RM 3,500.

 

x50 enjin bay

 


Secara ringkasnya, sekiranya anda hanya memerlukan sebuah kenderaan yang lebih sporty, kecil  untuk memudahkan pengendalian di ruang parkir, penggunaan bahan api yang lebih rendah serta reka bentuk terkini, X50 adalah pilihan terbaik untuk anda.

 


Tetapi sekiranya anda mementingkan ruang boot yang lebih luas, mementingkan keselesaan dengan ruang kabin yang lebih besar, X70 lebih sesuai untuk menjadi pilihan anda.

 

Proton X50 sememangnya suatu kelainan bukan sahaja dari segi harga dan rupa parasnya! Kami cuma berharap "DNA" Proton Handling lebih ketara dan menyerlah untuk memberikan kepuasan pemanduan yang padu.

 

Apa pun yang menjadi pilihan anda, jangan terlepas pandang kos servis dan penyelenggaraan bagi setiap pembelian.  Mampu beli tetapi tidak mampu meyelenggara adalah satu tindakan yang membuktikan sel-sel minda anda tidak berhubung.

 

 

x50 sunroof

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Produk minyak pelincir Proton ini boleh didapati dalam tahap kelikatan 5W30 SP, 5W30 SN, 10W30 SN…
Berita Domestik
Dalam tempoh tersebut, sebanyak 10,380 unit kenderaan Proton telah berjaya dijual, sekaligus…
Telah Diuji
Yang pasti, untuk model kemaskini terbaharu ini, Proton telah banyak membawakan penambahbaikan bagi…