Penawaran SUV juga mengubah pandangan dan penerimaan pengguna terhadap jenama nasional itu.
Sebelum pengenalan siri X, agak sukar untuk PROTON menjual kereta pada harga tinggi (kecuali Perdana V6) dan kini sebahagian besar diwakili model yang berharga enam angka.
Daripada tiga model X yang ditawarkan, Proton X50 paling laris dan ini pendapat kami mengapa SUV itu patut atau menjadi pilihan ramai.
1. Reka bentuk
Sukar untuk menafikan reka bentuk X50 adalah hasil kerja yang menawan. Serba-serbi cukup dari segi perincian dan bentuk X50 itu sendiri.
Bahagian depan membawa wajah garang dan bahagian tepi dengan yang permukaan beralun.
Bahagian belakang pula dibuat secukup rasa dan nampak sporti melalui empat muncung ekzos.
Memandangkan X50 menjadi pilihan orang muda atau berjiwa muda, ramai yang memilih untuk mengubahsuainya dengan menukar rim, memasang kit badan atau membalut badan.
SUV yang sporti bertambah sporti. Untuk mereka yang mahukan sentuhan rasmi, Proton menawarkan X50 R3 20th Annniversary dan dikeluarkan sebanyak 200 unit sahaja.
Menjengah ke bahagian dalam, imej yang sofistikated dan dipengaruhi jet pejuang menjamu selera dengan balutan dan perkakasan yang nampak bermutu.
Secara kesimpulannya tidak sukar untuk jatuh cinta dengan X50 hanya melalui pandangan mata.
2. Jarak kelegaan bumi
Satu di antara sebab mengapa SUV menjadi pilihan ialah kerana badan yang tinggi dan jarak kelegaan bumi.
X50 mempunyai ukuran tinggi 1,609 milimeter (mm) dan jarak kelegaan bumi 196 mm. Tidak dilupakan rim saiz 17 inci atau 18 inci bergantung kepada varian.
Ukuran itu tidak terlalu tinggi dan sudah memadai untuk mereka yang baru beralih dari kereta sedan atau hatchback.
Kedudukan yang tinggi membolehkan pemandu untuk melihat lebih jauh ke hadapan dan jarak kelegaan bumi pula membantu ketika mengharungi jalan yang dinaiki air.
Bukanlah bermakna X50 boleh meredah banjir besar tetapi sudah cukup untuk melalui lopak air atau semasa hujan lebat.
3. Berteknologi tinggi
Selain itu, reka bentuk menawan X50 juga pilihan yang baik untuk generasi komputer atau peranti.
X50 Premium dan Flagship diberikan meter LCD berwarna penuh dan skrin sentuh 10.25 inci.
Skrin maklumat hibur dilengkapi arahan suara dan fungsi dalam talian seperti navigasi, muzik dan ramalan cuaca. Kesemua varian dilengkapi sambungan 4G dan Wi-Fi.
Aplikasi PROTON Link membolehkan pemilik menetapkan kawalan dan mengetahui status X50 mereka.
Dari segi keselamatan, teknologi bantuan pemanduan X50 berada pada Tahap 2 Pemanduan Autonomi dan pertama di dalam segmen sewaktu dilancarkan pada 2020.
Berikut ciri-ciri keselamatan canggih pada X50 Flagship:
- Pembrekan Kecemasan Autonomi (AEB)
- Amaran Rempuhan Depan (FCW)
- Kawalan Suai Pandu dengan (ACC) Henti & Jalan
- Kawalan Pandu Pintar (ICC)
- Bantuan Laluan Susur (LKA)
- Amaran Lencongan (LDW)
- Sistem Maklumat Titik Buta (BLIS)
- Kawalan Lampu Tinggi Pintar (IHBC)
- Bantuan Meletak Kenderaan Automatik (APA)
- Sistem Pengawasan Tekanan Tayar (TPMS) - Turut dilengkapi pada X50 Premium
- Enam beg udara (X50 Executive, Premium, Flagship)
Selain ciri-ciri di atas, kesemua varian X50 dilengkapi teknologi keselamatan berikut:
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pembahagian Brek Elektronik (EBD), Pegangan Brek Automatik
- Kawalan Penstabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS)
- Bantuan Hentian Curam (HHA), Kawalan Penurunan Curam (HDC)
4. Harga yang berbaloi!
Nampak mahal dan setara dengan model import di pasaran dan PROTON membahagikan X50 kepada empat varian supaya dapat dinikmati ramai.
Berikut varian dan harga Proton X50:
- 1.5 Standard - RM86,300
- 1.5 Executive - RM93,300
- 1.5 Premium - RM101,800
- 1.5 TGDi Flagship - RM113,300
Berdasarkan harga tersebut, X50 boleh dimiliki pada harga di bawah RM90,000 dan sehingga RM113,000.
Varian teratas X50 Flagship lengkap dengan pelbagai teknologi dan juga bumbung panoramik untuk suasana dalaman lebih luas.
Selain itu, X50 Flagship digerakkan enjin lebih berkuasa yang menghasilkan 177 PS dan tork 255Nm.
Usah pening memilih kerana PROTON telah menyediakan varian mengikut spesifikasi dan harga merentasi pelbagai pengguna dan citarasa.
Akhir sekali, sehingga 31 Ogos 2023 sebanyak 100,210 unit X50 telah terjual dan tidak menghairankan kenapa model ini senang ditemui di atas jalan!
Penulis: Muhammad Md Tajudin