Proton X50: Tempahan 'early birds' 4K lepas, tetapi tempahan terkini berjumlah 20K, anda sanggup tunggu 6 bulan?

oleh SALINA JALIL|
Proton X50 yang dilancarkan secara rasmi hari ini telah pun menerima jumlah tempahan luar jangkaan iaitu lebih 20,000 unit selepas ia dibuka pada 16 September lalu.

Difahamkan, susulan jumlah tempahan luar biasa model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak pemasangan tempatan (CKD) segmen B itu, maka pelanggan dijangka terpaksa menunggu sehingga enam bulan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Careta sebelum ini telah melaporkan bahawa tempahan awal (early birds) bakal menerima SUV mereka sebelum hujung tahun dan pada harga tanpa cukai (pelepasan SST).

 

Walaubagaimana pun, pada sesi prebiu kepada media di kilang Proton pertengahan bulan lalu, Proton berkata jika tempahan diterima melebihi sasaran jualan 4,000 unit pada 2020, pengeluaran di kemudahan berkenaan boleh ditingkatkan sehingga 8,000 unit menjelang akhir tahun.

 

Susulan itu, penganalisis automotif berkata, kemungkinan tempoh menunggu sehingga enam bulan dianggap logik selepas mengambil kira angka lebih 20,000 unit setakat hari ini.

 

Kesimpulan itu belum lagi dinilai jika pelanggan memilih varian dan warna tertentu yang mendapat permintaan tinggi, seperti mana yang berlaku ke atas model lain, tidak hanya Proton.

 

 

Pada sesi prebiu media Proton X50 di Litar Antarabangsa Sepang bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Roslan Abdullah, berkata pihaknya tidak menjangkakan sambutan ke atas model yang amat dinanti-nantikan rakyat Malaysia itu sangat memberangsangkan berbanding barisan model lain keluaran Proton.

 

"Ia sesuatu yang baharu kepada Proton. Kebiasaannya pelanggan hanya mengesahkan tempahan apabila melihat model yang ingin dibeli dengan mata dan kepala sendiri. Namun, situasi yang dihadapi kami untuk Proton X50 amat berlainan.

 

"Pelanggan langsung tidak pernah melihat apatah lagi menyentuh model ini di pusat pengedaran Proton di seluruh negara tetapi membuat tempahan hanya berdasarkan laporan media dan gambar yang tersebar di media sosial.

 

"Apa yang boleh diperkata tentang model ini adalah sambutannya hebat yang mana kami tidak pernah jangka. Namun, saya memohon maaf kerana tidak boleh mendedahkan jumlah sebenar tempahan tetapi ia melebihi sasaran jualan (4,000 unit) menjelang akhir tahun ini," katanya 

 

 

Jika benar tempoh menunggu sehingga enam bulan, maka ia bakal memberi banyak impak sama ada pelanggan membatalkan tempahan kerana tempoh untuk menerima kereta yang diingini terlalu lama atau mungkin pembeli 'asli' meneruskan niat walaupun sebahagian mereka tidak lagi layak menikmati pengecualian cukai jualan 100 peratus sekiranya kerajaan memutuskan insentif itu tidak dilanjutkan menjangkaui tarikh akhirnya 31 Disember ini.

 

Status kapasiti kemuncak barisan pengeluaran Proton X50 di Tanjong Malim tidak dapat dipastikan, namun sebelum ini, Roslan mendedahkan kilang pengeluaran berkenaan mampu mengeluarkan 8,000 unit Proton X50 menjelang akhir tahun.

 

Berdasarkan beberapa andaian, rakyat Malaysia memang menantikan Proton X50 yang mana mereka adalah 'peminat sejati', tetapi kita tidak boleh mempertikaikan andaian ada sebahagiannya mahu memanfaatkan 'cuti cukai' yang ditawarkan kerajaan.

 

Jika Proton tidak mahu kehilangan tempahan yang sudah disahkan pelanggan, mereka perlu tampil dengan penjelasan sama ada mereka mampu mengendalikan jumlah tempahan yang dianggap mereka luar biasa dengan tempoh menunggu lebih singkat atau pelanggan perlu menunggu sehingga enam bulan untuk memandu Proton X50 milik mereka.

 

Andai kata, Proton menyatakan kemampuan meningkatkan kapasiti pengeluaran lebih tinggi dari 8,000 unit tahun ini, namun pengeluar jenama kereta nasional itu perlu mengambil kira kemampuan vendor dari China atau tempatan sama ada boleh menyediakan komponen yang dikehendaki atau sebaliknya.

 

 

Ketika dihubung, Roslan menjelaskan, Proton bersama pembekal sedang berusaha memasang siap sebanyak kereta mungkin bagi memendekkan tempoh menunggu.

 

"Ada kemungkinan pelanggan perlu menunggu beberapa bulan tetapi kami berharap pelanggan akan memahami situasi yang dihadapi kerana kami juga tidak mahu berkompromi dalam menjaga kualiti Proton X50.

 

Beliau berkata, kapasiti pengeluaran di kilang Tanjong Malim akan ditingkatkan secara beransur-ansur, namun usaha sedemikian memerlukan kerjasama dari vendor dan ia tidak boleh dilaksanakan secara mengejut.

 

"Proton akan tetap berusaha untuk memenuhi harapan pelanggan. Kami memahami perasaan mereka kerana ramai ingin membeli kereta pada akhir 2020 kerana mahu menerima faedah 'cuti cukai'.

 

"Namun, saya boleh katakan ini adalah satu situasi yang unik bagi pasaran automotif negara. Oleh demikian, kami berharap pelanggan dapat bersabar kerana ini adalah satu situasi yang dihadapi oleh semua syarikat kereta di Malaysia dan bukan sahaja Proton," katanya.

 

 

BH

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Hasil siasatan mendapati, kereta yang terlibat adalah Proton X50, namun nombor pendaftaran tidak…
Informasi
  Penawaran SUV juga mengubah pandangan dan penerimaan pengguna terhadap jenama nasional itu.…
Berita Domestik
Angka pada bulan September itu menyumbang kepada jualan tahun sehingga kini (YTD) untuk tahun  2023…